KUANTAN: Kerajaan Negeri Pahang memperuntukan RM300,000 untuk disumbangkan kepada kira-kira 1,000 atlet di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sumbangan RM300 seorang itu sebagai tanda terima kasih kepada mereka kerana mengharumkan nama negeri dan negara ini.
“Ini salah satu cara untuk kita menghargai para atlet yang berusaha bersungguh-sungguh menaikan nama Pahang dan juga Malaysia.
“Jadi, saya dengan sukacitanya mengumumkan sumbangan RM300 bagi setiap atlet sebagai tanda penghargaan kerajaan negeri.
“Kita juga berhasrat mewujudkan garis panduan bagi mengukur dan mengiktiraf kemajuan serta pencapaian sukan anak-anak di negeri ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis Pelancaran Pahang Pride Athlete serta pembukaan Akademi Golf dan E-Sport Pahang di sini hari ini.
Dalam pada itu, kata Wan Rosdy, sebanyak RM8.2 juta diperuntukkan bagi membantu golongan atlet dan penggiat sukan di negeri ini menceburi bidang keusahawanan.
“Di harap dengan peruntukan ini dapat membantu mereka menjana pendapatan,” katanya.
Sementara itu, Program Pahang Pride Athlete yang dilancarkan bakal melahirkan atlet Pahang yang berprestasi tinggi pada masa depan sejajar dengan matlamat untuk menjadikan negeri ini sebagai hub sukan atau pusat tumpuan kepada kemajuan sukan di Pantai Timur. – UTUSAN ONLINE