IPOH: Biarpun dikecam hebat penyokong namun Lembaga Pengarah Perak FC tetap memberi sokongan penuh kepada ketua jurulatih, Yusri Che Lah.
Sokongan itu dilaungkan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Perak FC, DatukSeri Abdul Azim Mohd Zabidi.
“Lembaga Perak FC memberi sokongan penuh dan kepercayaan penuh kepada Yusri Che Lah.
“Kami yakin Yusri Che Lah akan melakukan yang terbaik dalam membentuk pasukan yang baru dan menghasilkan pemain yang kompetitif.
“Mereka pasti akan mengekalkan gaya permainan yang pantas dan menarik seperti skuad The Bos Gaurus yang lama,” kata Pengerusi XOX itu dalam kenyataan akhbar semalam.
Azim juga mengucapkan terima kasih kepada penyokong yang telah memberi sokongan kepada pasukan.
“Kami dengan rendah hati ingin mengucapkan terima kasih kepada semua peminat yang telah menghadiri perlawanan di Stadium KLFA baru-baru ini menentang PDRM FC.
“Kami memahami kekecewaan peminat, namun kami akan terus berusaha untuk memastikan Perak FC adalah pasukan bola sepak yang boleh dibanggakan oleh peminat setia bola sepak Perak,”katanya.
Sehubumgan itu, beliau berharap peminat terus memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada Perak FC.
“Kami berharap kehadiran anda bagi menjadikan stadium tercinta kami sebagai kubu kuat Perak FC.
“Ayuh kita “Rise as One” bersama-sama! Kejor Yob Kejor! dan kita akan berjumpa pada 16 Julai ini,” ujarnya
Penyokong lantang mengecam Yusri selepas kekalahan 0-2 Bos Gaurus di tangan PDRM FC.
Mereka mempersoal keupayaan Yusri selaku pengendali pasukan dan menganggapnya tidak berkelayakan selaku pengendali.
Penyokong juga menyuarakan perasaan tidak puas hati terhadap penyerang import, Stipe Plazibat yang dikatakan adalah replika, pemain Brazil, Guilherme De Paula. – UTUSAN ONLINE