KUALA LUMPUR : Selepas tewas kepada PDRM FC dalam aksi Liga Perdana kelmarin, pengendali Perak FC, Yusri Che Lah mengakui tempatnya sentiasa panas.
Yusri berkata, atas rasa tanggungjawab, dia menanggung kekalahan berkenaan dan dalam masa sama mahu anak-anak buahnya bangkit memperbaiki persembahan.
Dalam pertemuan dengan PDRM FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras itu, Perak FC tewas 0-2 hasil dua jaringan Azmi Muslim pada minit ke-62 dan Milos Lacny (m-80).
“Kalau mahu ikutkan peminat mereka mahu tukar 11 pemain, jadi tempat saya sentiasa panas…Tak semua mudah dalam hidup, saya menanggung kekalahan ini.
“Walaupun tewas kita tetap bersyukur, kita sentiasa ketinggalan di peringkat awal…Perkara sama berlaku dalam perlawanan ini dan kita juga gagal sudahkan peluang terhidang,” kata Yusri dalam sidang akhbar selepas tamat perlawanan.
Untuk rekod, Perak FC ketika ini kekal di tangga tercorot Liga Perdana tanpa sebarang mata selepas beraksi 11 perlawanan dan mencatatkan tiga kemenangan dan lapan kekalahan.
Walaupun mencatatkan tiga kemenangan, Perak FC berdepan pemotongan sembilan mata susulan kegagalan melunaskan baki tunggakan gaji mengikut tarikh akhir yang ditetapkan.
Dalam pada itu, pengendali PDRM FC, Wan Rohaimi Wan Ismail mengucapkan terima kasih kepada barisan pemain yang memberikan komitmen penuh dan menghadiahkan kemenangan buat pasukan.
“Momentum kami berada dalam keadaan terbaik dengan dibantu oleh pemain baharu seperti Azmi dan Lacny. Walaupun turun dalam perlawanan pertama, mereka sudah membuktikan sentuhan jaringan kepada pasukan,” katanya.