KUALA LUMPUR: Pelari menara profesional negara, Soh Wai Ching berharap sukan berkenaan dapat dianjurkan pada Sukan SEA 2027 ketika Malaysia menjadi tuan rumah temasya dwitahunan tersebut..
Wai Ching yang juga merupakan Presiden Persatuan Larian Menara Malaysia berkata, dia sudah berbincang dengan Kementerian Belia dan Sukan bagi membolehkan sukan itu disenaraikan dalam Sukan SEA 2027.
Beliau berkata, terdapat beberapa lokasi menarik yang sesuai untuk dijadikan venue sukan berkenaan sekiranya dianjurkan dalam Sukan SEA 2027 namun, yang paling sesuai ialah Menara Merdeka 118.
“Segala-galanya terpulang kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan saya juga akan berjumpa dengan Presiden MOM, Tan Sri Dr. Mohamad Norza Zakaria untuk berbincang masa depan sukan ini.
“Jika dianjurkan pada Sukan SEA 2027, saya fikir saya masih mampu untuk menyumbang pingat emas buat negara berdasarkan prestasi semasa dan apa yang saya lakukan untuk kekalkan kecergasan.
“Saya sentiasa bersedia. Saya 33 tahun, lima tahun akan datang. Bagi sukan larian menara ini, ia boleh disertai walaupun sudah berusia 50 tahun kerana pelari (menara) nombor tiga dunia dari Jerman sudah berusia 52 tahun tetapi masih boleh berlari laju.
“Lokasi yang paling sesuai ialah Menara Merdeka 118, lima tahun dari sekarang saya fikir menara ia sudah siap sepenuhnya. Melalui sukan ini kita juga dapat memperkenalkan lagi menara kedua tertinggi di dunia selepas Burj Khalifa itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menerima tajaan sebanyak RM111,600 untuk tempoh setahun daripada Better Malaysia Foundation (BMF) untuk menampung perbelanjaannya menyertai kejohanan di luar negara.
Tajaan berkenaan disampaikan sendiri oleh Pengasas BMF, Tan Sri Vincent Tan yang turut berharap tajaan berkenaan dapat membantu Wai Ching mengekalkan statusnya sebagai pelari menara No.1 dunia.
Mengulas mengenai pertandingan yang akan disertainya selepas ini, Wai Ching berkata, dia akan menyertai larian di Singapura akhir bulan ini sebelum berlepas ke Amerika Syarikat (AS) untuk menyertai empat kejohanan.
Dalam pada itu, Vincent berkata, BMF berbesar hati dan mendapat inspirasi untuk menyokong Wai Ching apabila mengetahui bahawa juara dunia itu bekerja keras untuk mengumpul dana bagi meneruskan kerjaya larian menaranya.
“Kami telah melihat banyak pencapaian hebat daripada Wai Ching dan kami ingin menawarkan bantuan kepadanya. Kami berharap dengan dana yang dia perlukan, dia akan dapat menyempurnakan lawatan larian menaranya dan terus membanggakan kami.
“Sekarang tajaan adalah sebanyak RM111,600 untuk tempoh setahun bermula bukan ini hingga Jun 2023, selepas tamat tajaan ini kita akan lihat pencapaiannya dan sekiranya perlu kita akan sambung,” katanya.