PETALING JAYA: Beregu lelaki negara, Goh V Shem-Lim Khim Wah bermula langkah kanan dalam penampilan sulung mereka selepas lapan tahun terpisah apabila mengesahkan tempat di pusingan kedua kejohanan badminton Terbuka Taiwan hari ini.
Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu yang diletak sebagai pilihan kelapan dipaksa bekerja keras oleh pasangan tuan rumah, Chiu Hsiang Chieh dan Yang Ming-Tse sebelum menang 13-21, 21-19, 21-12 dalam tempoh 50 minit.
Menanti beregu profesional negara itu pada pusingan seterusnya merupakan satu lagi pasangan tuan rumah, Lee Chia-Han dan Lin Yong Sheng.
Turut sama mengikut jejak langkah mereka adalah satu lagi gandingan profesional negara, Boon Xin Yuan-Wong Tien Ci yang tidak hadapi masalah menewaskan pasangan Amerika Syarikat, Vinson Chiu dan Joshua Yuan dengan keputusan 21-18, 21-17.
Aksi membabitkan pertemuan sesama Malaysia dalam acara perseorangan lelaki antara Soong Joo Ven bertemu Cheam June Wei menyaksikan mereka bertarung lebih sejam yang kemudian memihak kepada Joo Ven dengan keputusan 15-21, 21-17, 21-16.
Malang buat sandaran utama dalam acara perseorangan wanita apabila S. Kisona longlai ditundukkan lawan tidak ternama dari India, Samiya Imad Farooqui yang berada di ranking ke-100 dunia dengan keputusan 15-21, 11-21
Bagaimanapun pemain muda, Eoon Qi Xuan menghadirkan keceriaan buat kem wanita negara apabila mencatatkan kemenangan ke atas pemain Republik Czech, Tereza Svabikova 21-12, 21-18.
Turut meneruskan kemaraan, beregu campuran Hoo Pang Ron-Toh Ee Wei Malaysia yang menumpaskan pasangan tuan rumah, Chen Xin Yuan-Yang Ching Tun 27-25, 21-13, sekali gus bakal berdepan satu lagi gandingan Taiwan, Lee Jhe-Huei-Su Ya Ching yang merupakan pilihan ketiga kejohanan. – UTUSAN ONLINE