UiTM sedia beri hadiah istimewa buat Aniq

UiTM sedia beri hadiah istimewa buat Aniq

ANIQ Kasdan (tengah), bersama pemenang pingat perak dari India, Sanket Mahadev Sargarand (kiri) serta Isuru Kumara Yodage dari Sri Lanka yang meraih gangsa dalam acara angkat berat 55 kilogram Sukan Komanwel 2022 di Birmingham semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Universiti Teknologi Mara (UiTM) mempertimbangkan untuk menawarkan kemudahan dan sagu hati kepada atlet angkat berat, Aniq Kasdan yang menghadiahkan pingat emas sulung negara dalam Sukan Komanwel Birmingham, semalam.

Hadiah istimewa itu seperti mana dinikmati pelajar UiTM yang mewakili negara dalam Sukan SEA Hanoi dan Sukan Olimpik Tokyo seperti iaitu kolej kediaman, pengecualian yuran kolej dan pengajian serta insentif khas.

Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr. Roziah Mohd. Janor berkata, tawaran tersebut akan dicadangkan kepada pengurusan universiti sebagai penghargaan kepada Aniq yang bukan sahaja mengharumkan nama negara bahkan UiTM di persada dunia.

“Selari dengan hasrat UiTM untuk dikenali di seluruh dunia. Kita harapkan, orang, yang sudah mengecapi kejayaan untuk terus ingat asal usulnya, itu satu yang kita tanamkan dalam kalangan mahasiswa UiTM.

“Semalam itu satu kejutan, sebenarnya saya di peringkat Naib Canselor dan Hal Ehwal Pelajar (HEP), kita menggalakkan dan menolong dalam aspek mendapatkan (kemudahan) dalam masa sama Fakulti Sains Sukan yang memainkan peranan besar untuk melatih mereka,” katanya ketika ditemui hari ini.

ROZIAH Mohd. Janor mengibarkan Jalur Gemilang sebagai simbolik pelepasan Konvoi Kembara Merdeka Keluarga Malaysia 2022 dekat pekarangan Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin di UiTM Shah Alam hari ini.

Beliau ditemui selepas menerima ketibaan Konvoi Kembara Merdeka Keluarga Malaysia 2022 sempena Pelancaran Kemerdekaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 dekat pekarangan Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin di UiTM Shah Alam.

Beliau menambah, UiTM menyediakan program khas untuk menggalakkan atlet menajalani latihan dan dalam masa sama tidak meninggalkan pembelajaran akademik.

“Sebab itu sudah beberapa tahun kita mulakan program atlet itu asalnya untuk bola sepak sahaj, tetapi sekarang kita buka untuk atlet seperti inilah untuk menyertai kejohanan seperti Sukan SEA, Komanwel dan Olimpik,” jelasnya.

ANIQ Kasdan meraikan kejayaan meraih pingat emas pertama Sukan Komanwel di Birmingham. – AFP

Semalam, Aniq, 20, menghadiahkan emas pertama Malaysia di Birmingham dengan memenangi acara angkat berat 55 kilogram (kg) dengan angkatan keseluruhan 249kg.

Terdapat dua lagi mahasiswa UiTM mewakili negara di Sukan Komanwel Birmingham dalam acara boling padang dan ragbi.

Dalam masa sama, seramai 17 mahasiswa mewakili universiti itu dalam Sukan Universiti Asia di Thailand dalam acara bola sepak, futsal, ping pong, olahraga, bola keranjang, silat, petanque, sepak takraw dan memanah.

Terdahulu, Roziah melepaskan perjalanan 12 kenderaan pacuan empat roda dan 25 motor berkuasa tinggi dalam Konvoi Kembara Merdeka Keluarga Malaysia 2022 yang diketuai Pengarah Jabatan Penerangan (JaPen) Selangor, Wan Norhana Mohamed.

Menurutnya, UiTM menyertai kembara tersebut yang akan meneruskan perjalananya ke lokasi sekitar daerah Klang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam sebelum menyerahkan Baton Jalur Gemilang kepada Ketua Kontinjen Perak pada esok di Teluk Intan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya