PETALING JAYA: Selepas melepasi pusingan pembukaan Malaysia Masters, Ng Tze Yong berharap langkahnya mampu lebih jauh apabila berdepan cabaran getir pilihan keempat dari Taiwan, Chou Tien Chen esok.
Tze Yong yang menjadi sandaran Malaysia pada Sukan Komanwel di Birmingham, hujung bulan ini melepasi pusingan pertama dengan menewaskan pemain Kanada, Brian Yang 21-15, 21-15.
“Saya rasa prestasi saya hari ini lebih baik (berbanding kalah pada pusingan pertama Terbuka Malaysia, minggu lalu). Saya harap dapat meneruskan permainan konsisten esok.
“Saya tidak fikir banyak (mengenai Tien Chen), sebaliknya amat teruja Saya sebenarnya teruja dapat bermain dengan pemain yang mempunyai ranking lebih tinggi. Bukan banyak dapat peluang seperti ini, saya akan memberikan yang terbaik.
“Menumpaskan Brian juga boleh dianggap kejutan tapi saya tidak fikir mengenai menang atau kalah, saya hanya mahu fokus kepada permainan saya sahaja,” kata pemain No. 48 dunia, Tze Yong yang masih memburu kejuaraan pertama sejak menjuarai Terbuka Scotland tahun lalu.
Sementara itu, cabaran dua pemain profesional negara, Soong Joo Ven dan Liew Daren terkandas di pusingan pembukaan.
Joo Ven tumpas 14-21, 12-21 kepada Li Shi Feng dari China dalam tempoh 43 minit, manakala Daren kalah pemain Hong Kong, Angus Ng Ka Long 17-21, 15-21.
Dalam saingan beregu campuran, Hoo Pang Ron-Toh Ee Wei mengejutkan beregu Korea Selatan, Kim Won Ho-Jeung Na Eun dalam aksi pembukaan hari ini.
Beregu No. 154 dunia itu mahu ‘menyerap’ sokongan penyokong di Axiata Arena esok untuk melakar satu lagi kejutan apabila menentang juara Olimpik, Wang Yilyu-Huang Dong Ping dari China.
Pang Ron-Ee Wei menyingkirkan gandingan Won Ho-Na Eun yang berada di tangga 71 dunia 23-25, 21-8, 21-7 dalam tempoh 51 minit . – UTUSAN ONLINE