KUALA LUMPUR: Ng Tze Yong menerima pengajaran berguna menjelang Sukan Komanwel di Birmingham apabila ditunjukkan jalan keluar seawal pusingan kedua kejohanan badminton Malaysia Masters di Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini.
Selepas tumpas seawal pusingan pembukaan Terbuka Malaysia minggu lalu, jaguh No. 4 dunia, Chou Tien Chen memberi pengajaran buat pemain muda negara itu dengan menyingkirkannya 21-18, 21-16 dalam masa 51 minit.
Tze Yong, 22, mengakui, masih banyak yang perlu dipelajari untuk menempatkan diri dalam kalangan pemain terbaik dunia dan penyertaannya dalam dua kejohanan di Axiata Arena memberikan satu pengalaman tidak ternilai menjelang Sukan Komanwel.
“Bertemu pemain handalan dunia seperti Tien Chen, membuat saya sedar jurang permainan saya dengannya.
“Saya timba banyak pengalaman dan masih banyak yang perlu saya belajar, baik dari segi fizikal dan stamina,” katanya.
Walaupun kalah, Tze Yong berkata, dia kini lebih yakin untuk beraksi di peringkat yang lebih tinggi.
Anak kelahiran Johor itu yang bakal menyertai Terbuka Singapura sebelum terbang ke Birmingham enggan meletakkan sebarang sasaran pingat pada Sukan Komanwel ketika diajukan pertanyaan tersebut.
“Saya tak mahu fikir pasal sasaran pingat, fokus saya hanya pada permainan sendiri dan cuba memberikan yang terbaik di sana nanti,” ujarnya.
Pada temasya di Gold Coast, Australia, legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei memenangi pingat emas buat Malaysia dalam acara perseorangan lelaki.
Penarikan diri pemain No. 5 dunia, Lee Zii Jia daripada Sukan Komanwel, baru-baru ini menyebabkan peluang negara untuk mempertahankan pingat emas tipis dengan Tze Yong menjadi pertaruhan Malaysia bagi menggalas tanggungjawab berat tersebut.
Sementara itu, dalam aksi beregu lelaki yang menemukan dua pasangan muda Malaysia berkesudahan Wan Arif Wan Junaidi-Muhammad Haikal Nazri yang mendapat jolokan ‘Patatimo Boys’ mara ke suku akhir selepas menewaskan Man Wei Chong-Tee Kai Wun 21-18, 21-14.
Pada suku akhir, Arif dan Haikal akan turun menentang finalis Terbuka Malaysia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto dari Indonesia.
Satu lagi beregu, Goh V Shem-Low Juan Shen pula menarik diri dengan memberi kemenangan percuma kepada pilihan kedua, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dari Jepun.
Menerusi Instagram milik V Shem, pemain itu mengesahkan bahawa dia positif Covid-19 yang menjadi punca kepada penarikan diri daripada pusingan kedua Malaysia Masters.