KOTA BHARU: Beraksi di depan ‘lautan merah’ penyokong The Red Warriors (TRW), Kelantan FC cemerlang menumbangkan Kuching City 2-0 di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini sebentar tadi untuk mengukuhkan kedudukan selaku pendahulu Liga Perdana.
Jaringan Nixon Guylherme pada masa tambahan babak pertama dan Mohamad Ikhwan Yazek minit ke-73 sudah cukup membuatkan skuad bimbingan Rezal Zambery Yahya terus ‘gayat’ memimpin carta liga.
Pada perlawanan itu, Kelantan yang turun dengan misi mesti menang bagi menebus kekalahan di gelanggang lawan pada pusingan pertama lalu dilihat ‘kental’ mengatur serangan ke kubu Kuching City
Bagaimanapun Kuching City terus menunjukkan disiplin tinggi semasa bertahan dan membalas serangan, namun kedua-dua pasukan buntu mencari jaringan.
![](https://www.utusan.com.my/wp-content/uploads/kelantan3-4-600x363.jpg)
Kem tuan rumah mengambil langkah untuk membuat dua pertukaran awal pada separuh masa pertama dengan memasukkan penyerang, Nixon Guylherme dan pemain tengah, Shahrul Igwan Samsudin untuk menambah ‘sengat’.
Pertaruhan Rezal mengubah rentak permainan pasukan tuan rumah yang dilihat lebih bertenaga mengatur serangan dan berjaya memperoleh jaringan pertama menerusi sepakan penalti Nixon Guylherme masa tambahan babak pertama.
Situasi kecoh seketika akibat rasa tidak puas hati di kem pelawat apabila penyerangnya, Abu Kamara diperintah keluar padang selepas menerima kad kuning kedua susulan melakukan provokasi di bangku simpanan Kelantan FC.
Pengadil perlawanan, Muhammad Almi Abdullah bagaimanapun dapat mengawal keadaan dan menamatkan separuh masa pertama dengan keputusan semasa 1-0.
Bersambung babak kedua, Mohamad Ikhwan Yazek menghukum kealpaan barisan pertahanan Kuching City FC dengan gol kedua pada minit ke-73 selepas berjaya menyudahkan bola umpanan Syed Sobri Syed Mohd dengan satu rembatan lerek menewaskan penjaga gol lawan, Shaiful Wazizi Mohammad.
Gol kedua tersebut jelas menaikkan semangat kem tuan rumah, namun barisan pemain Kelantan FC kekal mengambil sikap berhati-hati dan mengekalkan disiplin bertahan untuk terus menafikan peluang Kuching FC menjaringkan gol.
Kuching City FC terus mempamerkan semangat enggan mengalah dan kesungguhan untuk merapatkan jurang gol tetapi Kelantan terus kental bertahan untuk memuktamadkan kemenangan di hadapan 8,700 penyokongnya.