KUALA NERUS: Pengendali Terengganu FC (TFC), Mohd. Nafuzi Zain, mengakui skuad kendaliannya beraksi di bawah kemampuan sebenar ketika membenam Kuching City 4-1 dalam aksi suku akhir Piala FA di tempat sendiri, malam kelmarin.
Menurut beliau, Sang Penyu kelihatan tertekan apabila turun selaku pasukan pilihan bertemu wakil Liga Perdana itu sekali gus gagal memperaga aksi terbaik terutama pada babak pertama.
Bagaimanapun, kemasukan Kipre Tchetche dan Nik Sharif Haseefy Mohd. Lazim berjaya mengubah tempo permainan serta memainkan watak penting dalam 20 minit terakhir.
“Ianya bukan perlawanan yang mudah buat TFC dan saya lihat rentak permainan tidak seperti biasa di mana pemain seperti tertekan serta takut mengambil risiko.
“Pergerakan juga tidak begitu lancar dan tidak banyak peluang dicipta pada separuh masa pertama selain melepaskan gol mudah berpunca kesilapan kami sendiri.
“Namun kami bangkit selepas rehat dan melihat kepada aksi awal babak kedua, saya yakin kami mampu menamatkan permainan dalam 90 minit,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan itu di sini, semalam.
Pada perlawanan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu di depan menerusi ledakan Faiz Nasir pada minit ke-23 sebelum pemain Kuching City, Amir Amri Salleh menyamakan kedudukan 1-1.
Namun, tuan rumah bangkit dengan tiga gol hasil jaringan Tchetche pada minit ke-73 dan 79 serta gol ketiga menerusi Faisal Abdul Halim minit ke-87.
Sementara itu, ketua jurulatih The Cats, Irfan Bakti Abu Salim, tetap berpuas hati dengan tentangan diberikan Kuching City walaupun ditunjukkan jalan keluar di peringkat suku akhir.
“Namun saya tidak menyalahkan pemain-pemain kerana kami sudah menyedari tugas berat menanti apabila bertemu Terengganu. Saya tetap berpuas hati dengan pencapaian Kuching City ke suku akhir Piala FA,” jelasnya.