PETALING JAYA: Skuad ragbi tujuh sebelah (7s) negara bermula langkah kiri dalam aksi pembukaan Kumpulan B, Sukan Komanwel di Birmingham apabila dibelasah 46-0 oleh pasukan No. 1 dunia, Afrika Selatan di Birmingham, sebentar tadi.
Afrika Selatan yang juga pemenang pingat emas edisi 2014 di Glasgow tidak menunggu lama apabila seawal minit pertama, Angelo Davids berjaya membuat try untuk letakkan pasukan 5-0 di depan, namun Ronald Brown gagal menyempurnakan conversion untuk melebarkan jurang pasukan Springboks.
Begitupun, ia tidak menghalang untuk mereka menutup aksi di separuh masa pertama dengan keputusan 22-0.
Aksi di babak kedua tidak banyak beza, walaupun penggendali negara, Saizul Hafifi Md. Noor melakukan beberapa pertukaran, namun ia tidak cukup untuk mengekang asakan bertali arus Afrika Selatan.
Hasrat skuad Bunga Raya untuk mendapatkan mata pada babak kedua juga tidak kesampaian, apabila serangan dilakukan mudah dipatahkan benteng pertahanan pasukan berada di ranking pertama dunia itu, dalam saingan tujuh sebelah tersebut.
“Bila melakukan serangan, kita sering kehilangan penguasaan terhadap bola, malah pemain kita juga gagal menyaingi permainan pantas dipamerkan pasukan Afrika Selatan. Namun, corak permainan dipamerkan pemain memberi mereka keyakinan untuk perlawanan seterusnya,” kata Saizul.
Malaysia selepas ini akan bertemu Scotland pada pukul 3.30 pagi waktu Malaysia sebelum melengkapkan aksi peringkat kumpulan menentang Tonga esok.
Dalam temasya Gold Coast 2018, skuad Bunga Raya tujuh sebelah tersingkir awal selepas tumpas kepada Papua New Guinea (5-31), Scotland (0-41) dan Afrika Selatan (0-43). – UTUSAN ONLINE