PETALING JAYA: Turun sebagai juara bertahan, Siti Zalina Ahmad membuka kempen Sukan Komanwel 2022 dengan langkah kanan apabila menyingkirkan pencabar dari Kepulauan Niue, Olivia Buckingham pada saingan boling padang perseorangan wanita, sebentar tadi.
Dalam pusingan pertama di Victoria Park, Leamington Spa itu, Siti Zalina yang hadir dengan reputasi sebagai juara dua kali tidak berdepan masalah untuk menewaskan lawan dengan keputusan 21-7.
Siti Zalina akan turun beraksi pada pusingan kedua esok dalam pertandingan yang diadakan secara round-robin, namun kemenangan diraih pada aksi pertama akan mencerahkan peluang layak ke suku akhir.
Seramai lima peserta termasuk dari England turut berada dalam Kumpulan A ini.
Selain meraih emas di Gold Coast 2018, Siti Zainal turut memenangi pingat emas perseorangan wanita di Melbourne 2006. Dia juga pernah bertanding dalam temasya Manchester 2002 dan New Delhi (2010).
Bagi temasya kali ini, Siti Zalina juga akan bertanding bagi acara beregu bersama Emma Firyana Saroji.
Selaku penyandang juara, Siti Zalina-Emma Firyana menjadi sandaran negara untuk meraih satu daripada enam emas disasarkan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) pada temasya kali ini. – UTUSAN ONLINE