PETALING JAYA: Biarpun prestasi Ng Tze Yong masih jauh daripada meyakinkan menjelang Sukan Komanwel, namun pemain muda negara itu bertuah menerima sokongan padu daripada legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei.
Kata Chong Wei, doanya mengiringi pemergian Tze Yong pada temasya 28 Julai hingga 8 Ogos, malah hari ini, bekas pemain No. 1 dunia itu turut menghadiahkan raket kepada pemain tersebut.
Pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik itu juga lebih berminat untuk bercakap mengenai Tze Yong, sama ada perkara positif atau negatif berbanding seorang lagi perseorangan negara, Lee Zii Jia.
Kata Chong Wei, beliau berharap raket yang dihadiahkan kepada Tze Yong akan membawa tuah atau ‘ong’ kepada pemain itu yang bakal menggalas misi berat mempertahankan pingat emas yang dimenangi dalam Sukan Komanwel empat lalu di Birmingham nanti.
“Saya fikir ini bagus untuk Tze Yong kerana dia sekarang pemain perseorangan utama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan saya rasa memberi raket kepadanya akan ada ‘ong’ atau nasib baik.
“Pada masa sama, saya harapkan dia dapat kejayaan pada Sukan Komanwel nanti. Semua pasti berdepan tekanan dan saya mahu dia tahu bahawa bukan senang untuk mengatasinya.
“Kita tengok dia memang ada potensi dan harap dengan perlawanan ini (Terbuka Malaysia) dia tahu tahapnya di mana,” katanya selepas beraksi dalam perlawanan pertunjukan ‘Yonex Legend’s Vision’ sempena Terbuka Malaysia di Arena Axiata, Bukit Jalil hari ini.
Dalam perlawanan itu, Chong Wei bersama legenda badminton dunia seperti Taufik Hidayat (Indonesia), Peter Gade (Denmark) dan Lee Yong Dae (Korea Selatan) beraksi empat pemain negara.
Tze Yong, pemain No. 48 dunia kandas seawal pusingan pertama Terbuka Malaysia selepas tunduk kepada Lu Guang Zu dari China 16-21, 23-21, 18-21.
Dia akan mengetuai cabaran perseorangan negara pada Sukan Komanwel ekoran penarik diri Zii Jia. – UTUSAN ONLINE