MELAKA: Sembilan daripada 17 pesilat negara mengesahkan kemaraan ke peringkat akhir Kejuaraan Pencak Silat Dunia Ke-19 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini hari ini.
Selepas tiga emas diraih dalam acara artistik kelmarin, sasaran tujuh emas yang diletakkan kian menjadi kenyataan apabila sembilan lagi pesilat berpeluang memburu gelaran juara.
Sandaran diletakkan di bahu empat pesilat lelaki dan lima wanita untuk menuai emas apabila pentas akhir bermula pukul 10 pagi nanti.
Dua pesilat pilihan iaitu Mohd. Al Jufferi Jamari dan Siti Rahmah Mohamed Nasir menepati ramalan melepasi saingan separuh akhir semalam (Sabtu).
Kedua-dua atlet itu mendapat penghormatan beraksi di hadapan Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijadualkan pukul 8 malam ini.
Bagi kategori lelaki, yang turut mara ke final ialah pemenang pingat gangsa Sukan SEA Hanoi 2021, Muhammad Robial Sobri, Mohammad Khairi Adib Azhar dan Aizad Akbar.
Manakala empat lagi atlet wanita yang layak ialah Nor Farah Mazlan, Siti Shazwana Ajak, Olivia Chong dan Nor Izzatul Fazlia Mohamad Tahir.
Mohd. Al Jufferi yang menundukkan Zetout Abdelmalek dari Algeria 48-17 bakal berdepan cabaran getir, Iqbal Chandra Pratama dari Indonesia yang mara selepas menang 36-15 mengatasi Nguyen Thi Tra My dari Vietnam bagi Kelas F
Siti Rahmah pula mengetepikan Nur Shaqira Sheikh Alaudin dari Singapura 38-16 dijadualkan berdepan pesilat Vietnam, Quang Thi Thu Nghia yang mengalahkan Dyah Purnama Sari dari Indonesia, 49-30 bagi Kelas F.
Muhammad Robial mudah mengetepikan saingan Earl Hurburt dari Amerika Syarikat (AS) bagi Kelas I dengan keputusan 47-14.
Dalam aksi akhir, beliau akan berdepan seteru utama, Muhammad Nurshahfareeq Shahrudin yang menewaskan Saranon Glompan dari Thailand 34-30.
Dalam Kelas A pula, Nur Farah yang menewaskan Dinda Nuraidha dari Indonesia, 73-55 akan berdepan Nadhrah Sahrin dari Singapura yang menundukkan Firdao Duromae dari Thailand, 30-24.
Siti Shazwana pula menang 59-19 ke atas Dao Thi Hong Nhung dari Vietnam untuk menempah tempat ke peringkat akhir, bertemu Atifa Fismawati dari Indonesia yang menewaskan Kozokova Sarvinoz dari Uzbekistan 61-3 bagi Kelas D. – UTUSAN ONLINE