KUALA LUMPUR: Kali terakhir merangkul gelaran empat tahun lalu, Shevon Lai mengakui dia dan Soon Huat perlu bekerja keras jika mahu mengulangi kejayaan itu, terutama dengan kehadiran ramai pemain muda.
Shevon yang kini berusia 29 tahun berkata, menjuarai sesebuah pertandingan memang menjadi impian, dan ia hampir digapai pada Terbuka Switerland awal tahun ini, namun, tumpas pada final kepada beregu Jerman, Mark Lamsfuss-Isabel Lohau.
“Kali terakhir kami menang gelaran pada 2018 (Terbuka Jerman dan Terbuka Singapura) tetapi sebenarnya pada tahun ini kami berjaya menaiki podium setelah tewas dalam perlawanan akhir.
“Kami gagal memenangi gelaran itu, ia memang sangat mengecewakan kerana kami begitu mahukan kejayaan tersebut dalam karier kami,” katanya.
Selasa lalu, Soon Huat-Shevon terpaksa akur kepada pasangan Korea Selatan, Kim Wan Ho-Jeong Na Eun 21-10, 18-21, 17-21 seawal pusingan kedua, Terbuka Malaysia.
Menyasarkan untuk mara ke suku akhir dalam setiap kejohanan disertai, dia memberitahu, dia dan Soon Huat mencuba pelbagai cara untuk meningkatkan prestasi.
“Kami kalau boleh dalam setiap pertandingan memang sasar dulu ke suku akhir, lepas itu baru fikir cara untuk layak lebih jauh.
“Bukan mudah, kami semakin tua dan terpulang kepada diri sendiri untuk meningkatkan prestasi bagi sertai lebih banyak pertandingan,” ujarnya.
Menurut Shevon, selepas tersingkir daripada Terbuka Malaysia, fokus dia dan Soon Huat kini beralih kepada Malaysia Masters serta Terbuka Singapura.