KUALA LUMPUR: Datuk Lee Chong Wei sedia membantu mana-mana pemain yang memerlukan bantuan atau pandangannya pada bila-bila masa.
Bekas bintang No. 1 dunia dan pemenang tiga kali pingat perak Sukan Olimpik itu berkata, bantuannya tidak hanya terhad kepada pemain Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tetapi pemain lain termasuk dari luar negara.
“Telefon bimbit saya sentiasa dibuka 24 jam, jadi mereka boleh hubungi saya bila-bila masa yang mereka suka.
“Sebelum ini pun ada pemain luar menghubungi saya mengadu mengenai prestasi mereka dan minta pandangan,” katanya selepas menyertai aksi pertunjukan ‘The Legend’s Vision’ di Axiata Arena Bukit Jalil, semalam.
Menurut Chong Wei, beliau sendiri masih berhubung dengan bekas jurulatihnya Hendrawan untuk bertanyakan tentang perkembangan pemain BAM.
Ketika ditanya mengenai sambutan peminat yang luar biasa di Axiata Arena, Chong Wei terharu dengan sorakan mereka yang sanggup datang ke Bukit Jalil seawal 6 pagi.
“Saya lihat peminat sanggup beratur panjang di luar stadium, sambutan cukup luar biasa. Inilah yang saya rindukan, kehadiran peminat memberikan sokongan,” katanya.
Sementara itu, dalam aksi pertunjukan ‘The Legend’s Vision’, Chong Wei bersama Taufik Hidayat, Peter Gade dan Lee Yong Dae menentang empat pemain BAM.
Empat pemain tersebut ialah Pearly Tan, M. Thinaah, Ng Tze Yong dan Muhammad Shaqeem Eiman Shahyar yang menundukkan pasukan legenda 22-20.
Selepas perlawanan pertunjukan berakhir, Chong Wei turut menghadiahkan raketnya kepada pemain perseorangan negara, Tze Yong, yang bakal beraksi di Sukan Komanwel hujung bulan ini. – UTUSAN ONLINE