PETALING JAYA: Melaka United (MU) sudah melupakan kekecewaan tersingkir pada Piala FA apabila membenam Penang FC 4-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, malam ini.
Kemenangan itu mengubat kecewa Sang Kancil yang kalah tipis 1-2 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam suku akhir, Sabtu lalu.
Tuan rumah tidak menunggu lama untuk merobek gawang lawan apabila Emmanuel Oti membuka jaringan seawal minit keempat selepas menyudahkan hantaran cantik Adriano Narcizo.
Gol pembukaan menaikkan semangat Melaka untuk terus melancarkan serangan, namun sepakan bekas yang dilakukan Adriano diselamatkan penjaga gol lawan, Muhammad Hafizul Hakim pada minit ke-19.
Penang FC yang masih segar dengan kejayaan membenam Sri Pahang pada suku akhir Piala FA gagal mengulangi aksi baik di Kuantan, Sabtu lalu, sebaliknya mereka ketinggalan 2-0 hasil rembatan Adriano pada minit ke-36.
Memasuki babak kedua, skuad Sang Kancil menambah derita pelawat dengan meledak gol ketiga menerusi gerakan Andriano, Ifedayo Olusegun, Oti dan Fadhil Idris sambil dibantu Syazwan Andik.
Jaringan disempurnakan oleh Ifedayo pada minit ke-58 selepas menerima hantaran Sony Norde, sekali gus menceriakan lebih 1,000 penyokong yang hadir.
Norde yang sering menjadi masalah buat benteng pertahanan Harimau Kumbang terus menghukum pelawat dengan melakukan hantaran kepada Justin Baas untuk gol keempat Melaka pada minit ke-60.
Penang FC meraih gol saguhati empat minit sebelum tamat permainan menerusi sepakan bebas Lucas da Silva.
Melaka United dengan 16 mata daripada 12 perlawanan menghuni tangga keenam liga, manakala Penang FC yang hanya mengutip satu kemenangan selepas 13 perlawanan di tempat tercorot. – UTUSAN ONLINE