PETALING JAYA: Biarpun tumpas kepada pasukan handalan dunia, Afrika Selatan dan Scotland dalam dua aksi pembukaan ragbi tujuh sebelah (7’s) Sukan Komanwel Birmingham, namun skuad Bunga Raya memenuhi sasaran ‘mengurangkan margin kekalahan’.
Aksi yang berlangsung di Coventry Arena itu menyaksikan Malaysia kalah 0-46 kepada pasukan No. 1 dunia, Afrika Selatan sebelum tumpas 12-50 kepada Scotland pada hari pertama Kumpulan B.
Bekas pemain ragbi negara, Farid Rahman yang pernah bersaing dalam dua edisi Komanwel pada 1998 dan 2002 percaya, Malaysia sebenarnya telah mempamer peningkatan membanggakan berdasarkan corak permainan menentang dua lawan handalan dunia.
“Bertemu Afrika Selatan seperti yang kita tahu, pasukan paling kuat berbanding Fiji dan All Blacks tetapi saya kagum kerana pasukan kita dapat mengurangkan margin kekalahan kerana sebelum ini jika berlawan mereka, keputusan tidak akan lari 50 atau 60 mata.
“Saya ada dengar sasaran mereka sebelum bertolak ke Komanwel Birmingham adalah mengurangkan mata yang akan dihasilkan pihak lawan. Kita memang perlu akui kita akan kalah tetapi kita berjaya kurangkan mata pencapaian pasukan lawan.
“Mengenai Scotland pula, mereka juga pasukan hebat. Saya paling kagum Malaysia berjaya hasilkan dua try, padahal kita tahu pertahanan mereka kuat dan mereka semestinya akan menggunakan kelebihan badan besar untuk melanggar pemain kita.
“Ini bermakna, kualiti pemain kita sudah semakin baik dan bersedia ketika berdepan pasukan yang mempunyai fizikal lebih besar,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Farid yang kini berkhidmat sebagai tenaga pengajar jurulatih ragbi dengan Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) pernah membantu pasukan kebangsaan memperoleh tempat ke-12 pada Komanwel 1998 yang berlangsung di Kuala Lumpur.
Mengulas mengenai keadaan pemain, Farid turut optimis skuad kendalian di bawah jurulatih Saizul Hafifi itu beroleh pengalaman yang membina dalam temasya itu, meskipun Malaysia yang masih belum mempunyai stadium rasmi ragbi.
“Saya tengok pemain semakin matang sebab mereka semuanya merupakan projek kebangsaan untuk 2022 hingga 2026.
“Daripada segi fizikal, saya lihat otot mereka semakin tegap dan ini kita perlu berterima kasih kepada Majlis Sukan Negara yang banyak membantu membentuk siapa mereka sekarang,” katanya.
Dua kekalahan pertama menyebabkan Malaysia gagal melangkah ke separuh akhir.