PHNS Seniors sasar separuh akhir liga hoki remaja

PHNS Seniors sasar separuh akhir liga hoki remaja

K. Rajan membimbing pemain PHNS Seniors pada perlawanan pertama Liga Hoki Remaja 2022 di Kompleks Sukan Tan Sri Mohd. Said, Seremban, Sabtu lalu. - UTUSAN/NAZARUDIN SHAHARI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Wakil Negeri Sembilan, PHNS Seniors menyasarkan untuk layak ke separuh akhir kejohanan TNB Liga Hoki Remaja Malaysia (MJHL) 2022 yang membuka tirainya pada 13 Julai lalu.

Ketua Jurulatih PHNS Seniors, K. Rajan berkata, sasaran itu berdasarkan kepada keupayaan yang ditunjukkan pasukan berkenaan dalam beberapa siri perlawanan persahabatan sebelum ini.

“Dalam kejohanan tahun lalu, kami menduduki tangga ketiga peringkat kumpulan.

“Sudah tentu kami ingin memperbaiki kedudukan itu dalam kejohanan kali ini,” katanya kepada Utusan Online semalam.

Dalam kejohanan tahun ini, PHNS Seniors diletakkan dalam Kumpulan B Divisyen Dua bersama sembilan pasukan lain antaranya DBKL HT, PPHT Thunderbolts dan KLSS-CS.

K. RAJAN

Menurut Rajan, kemenangan 4-2 ke atas TBSS/PHNS dalam perlawanan pertama, Sabtu lalu telah menyuntik semangat kepada pemain untuk turun menentang DBKL HT di stadium hoki Kompleks Sukan Tan Sri Dato’ Mohd. Said, petang ini.

Jelasnya, perlawanan ini penting untuk PHNS Seniors mara lebih jauh dalam liga itu yang disertai oleh 29 pasukan hoki lelaki dari seluruh negara.

“Berdasarkan kepada perlawanan pertama Sabtu lalu, masih banyak ruang yang perlu ditingkatkan dan para pemain PHNS Seniors perlu lebih gigih dalam latihan dan mengikuti panduan yang diberikan kepada mereka.

“DBKL HT dibarisi oleh ramai pemain yang bagus tetapi peluang tetap ada jika kami bermain lebih baik,” ujarnya.

Rajan yang pernah membimbing pasukan kebangsaan ke Piala Dunia Remaja pada 2009 dan pasukan kebangsaan Singapura selama empat tahun memberitahu, PHNS Seniors dibarisi gabungan 18 pemain berpengalaman dan baharu.

Liga hoki remaja tahun ini akan berlangsung sehingga 28 Ogos ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN