Pearly-Thinaah tumbang di separuh akhir

Pearly-Thinaah tumbang di separuh akhir

PEARLY TAN-M. THINAAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

UALA LUMPUR: Beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah terkandas di separuh akhir selepas  kecundang di tangan juara dunia dua kali, Chen Qingchen-Jia Yi Fan pada Malaysia Masters 2022 di Axiata Arena Bukit Jalil, dekat sini, sebentar tadi.

Pasangan No. 10 dunia itu tewas straight set 10-21, 19-21 kepada gandingan No. 1 dunia dari China.

Kekalahan tersebut menyaksikan Malaysia perlu menunggu lagi untuk merangkul gelaran Malaysia Masters selepas kali terakhir beregu wanita berjaya menjuarai pertandingan itu ialah menerusi Chin Eei Hui-Wong Pei Tty pada 2012.

Dalam aksi final, esok, beregu handalan China itu bakal turun beraksi menentang pilihan keenam dari Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida yang menewaskan pasangan Korea Selatan, Jeong Na Eun-Kim Hye Jeong 24-22, 21-13 dalam satu lagi separuh akhir.

Ketika ditemui pemberita selepas perlawanan berakhir, Thinaah mengakui jurang kualiti wujud antara mereka dan beregu China itu.

“Saya tak begitu gembira dengan persembahan kami, pada set pertama kami melakukan kesilapan yang memberi mata mudah kepada lawan.

“Kami berdepan kesukaran untuk ikut rentak permainan lawan, mereka terus memberi tekanan dengan mengekalkan corak permainan pantas,” katanya.

Jelas pemain berusia 24 tahun itu, dia dan Pearly cuba bangkit dalam set kedua dan berjaya menghadirkan tentangan sengit, tetapi malangnya tidak cukup untuk mengheret beregu China itu ke set penentuan.

Ketika ditanya mengenai kecederaan yang menimpanya sewaktu set kedua, Thinaah memberitahu, dia mengalami kecederaan ringan pada buku lalinya, tetapi ia tidak begitu serius.

Mengulas pula mengenai perancangan beregu utama Malaysia itu selepas Malaysia Masters, pasangan Thinaah, Pearly berkata, selepas ini, fokus mereka kepada Sukan Komanwel yang bermula hujung bulan ini dan mereka tidak akan menyertai Terbuka Singapura serta Terbuka Taiwan.

Pearly dan Thinaah merupakan sandaran negara untuk membawa pulang pingat emas pada temasya yang akan berlangsung di Birmingham itu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya