KUALA LUMPUR: Beregu wanita negara, Pearly Tan dan M.Thinaah melakar kejutan pada kejohanan badminton Malaysia Masters apabila menyingkirkan naib juara dunia tiga kali, Sayaka Hirota-Yuki Fukushima pada pusingan kedua hari ini.
Pearly-Thinaah memanfaatkan keadaan angin di dalam gelanggang yang menjadi badi buat kebanyakan pemain sejak minggu lalu untuk menempah slot suku akhir dengan kemenangan 21-14, 21-19
Kemenangan itu juga mengubat kekecewaan minggu lalu apabila perjalanan mereka tersekat pada pusingan kedua Terbuka Malaysia.
Halangan seterusnya buat Pearly-Thinaah adalah gandingan Indonesia, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti yang masih segar dengan kejayaan menjuarai Terbuka Malaysia.
Sementara itu, beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik turut unggul mengenepikan pasangan Korea Selatan, Kim Gi Jung-Kim Sa Rang 21-18, 21-18 untuk melangkah ke suku akhir.
Bagi Aaron dan Wooi Yik, sesi luahan perasaan bersama jurulatih mereka, Rexy Mainaky banyak meningkatkan semula prestasi mereka untuk bangkit selepas harungi mimpi ngeri tunduk mudah di peringkat separuh akhir Terbuka Malaysia minggu lalu.
Aaron dan Wooi Yik yang diletakkan sebagai pilihan kelima kejohanan akan berentap dengan pasangan Taiwan, Chang Ko Chi-Po Li Wei di peringkat suku akhir, yang sebelum itu menumpaskan satu lagi wakil Malaysia Yap Roy King dan Yee Jun Chang dengan keputusan 14-21, 21-11, 21-10.
“Perlawanan pada hari ini (semalam) lebih tenang dan seronok, jadi sebab itu kami tidak terburu-buru di dalam gelanggang.
“Biasa apabila kami mendahului lawan, dan kemudian lawan mengejar, ia sering menjadi masalah, jadi ia perkara yang kami sedang selesaikan untuk kami perbaiki tahap permainan kami,” jelas Wooi Yik.
Turut mara ke suku akhir beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai yang menyingkirkan gandingan Indonesia, Hafiz Faizal-Serena Kani 21-16, 22-20.
Nasib berbeza menimpa satu lagi beregu campuran Malaysia, Chan Peng Soon-Cheah Yee See yang akur kepada juara baharu Terbuka Malaysia, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong dari China 11-21, 13-21. – UTUSAN ONLINE