KUALA LUMPUR: Dua wakil Malaysia terkandas di suku akhir Kejohanan Badminton Malaysia Masters, selepas gandingan muda negara, Wan Arif Wan Junaidi-Muhammad Haikal Nazri dan beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai ditunjukkan jalan keluar oleh lawan masing-masing di sini, hari ini.
Dalam perlawanan yang berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil, beregu lelaki yang mendapat jolokan ‘Patatimo Boys’, Arif dan Haikal bukanlah lawan kepada pasangan No. 5 dunia dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto.
Mereka tumpas straight set 10-21, 16-21 kepada Fajar-Rian dalam masa 30 minit.
Sementara itu, pasangan No. 15 dunia, Soon Huat dan Shevon tunduk kepada juara dunia dua kali dan pemenang pingat emas Sukan Asia, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong 10-21, 14-21.
Kekalahan tersebut juga menyaksikan rekod pertemuan antara kedua-dua beregu kian melebar kepada 7-0 yang mana ia jelas berpihak kepada pasangan No. 1 dunia itu. – UTUSAN ONLINE