Momota mara ke separuh akhir tanpa memerah keringat

Momota mara ke separuh akhir tanpa memerah keringat

Shesar Hiren Rhustavito melambai ke arah penonton di Axiata Arena, Bukit Jalil selepas terpaksa menamatkan perlawanan menentang Kento Momota lebih awal akibat kecederaan. - UTUSAN/ FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tuah sekali lagi memihak bintang No. 2 dunia, Kento Momota apabila diberi kemenangan percuma selepas pemain Indonesia, Shesar Hiren Rhustavito tidak dapat meneruskan aksi akibat kecederaan betis pada suku akhir Terbuka Malaysia di Axiata Arena Bukit Jalil, sebentar tadi.

Pemain Jepun itu sedang mendahului 13-6, sebelum Rhustavito yang menyingkirkan pemain perseorangan utama Malaysia, Lee Zii Jia, semalam secara tiba-tiba terduduk di atas gelanggang.

Pada pusingan pertama, Momota turut diberi kemenangan percuma apabila pemain Thailand, Kantaphon Wangcharoen menarik diri daripada kejohanan.

Rhustavito yang kelihatan tidak mampu berjalan terpaksa menggunakan kerusi roda untuk membawanya keluar dari gelanggang.

AKSI Kento Momota ketika menentangShesar Hiren Rhustavito. – UTUSAN/ FARIZ RUSADIO

Jurulatih perseorangan Indonesia, Irwan Syah ketika ditemui pemberita mengesahkan bahawa anak buahnya itu mengalami kecederaan betis kanan dan perlu menjalani ujian imbasan.

“Saya berharap keadaan Vito tidak serius, tetapi tadi dia memang tidak boleh berpijak dan memerlukan kerusi roda untuk diusung keluar,” katanya.

Sebelum ini, pada pusingan pertama Rhustavito menjadi tumpuan peminat yang memberi tepukan gemuruh kepadanya selepas membantu memapah keluar pemain Denmark, Rasmus Gemke yang ditimpa kecederaan kaki.

Malangnya pemain berusia 28 tahun itu turut ditimpa nasib serupa apabila, hari ini gilirannya pula terpaksa diusung keluar.

Sementara itu, Momota ketika ditemui pemberita melahirkan rasa gembiranya berjaya melangkah sehingga ke separuh akhir.

“Sebelum Terbuka Malaysia saya memang tidak yakin untuk melangkah jauh, tetapi apabila mendapat sokongan padu daripada penyokong Malaysia saya kembali bersemangat.

“Saya seperti bermain di Tokyo dan harap untuk separuh akhir, esok peminat akan terus bagi sokongan kepada saya,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya