'Menang pingat gangsa macam dapat emas'

‘Menang pingat gangsa macam dapat emas’

MUHAMMAD Shah Firdaus Sahrom meraikan pingat gangsa yang dimenangi dalam acara keirin Sukan Komanwel 2022 di London, hari ini. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jaguh berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom berkata, perasaan memenangi pingat gangsa acara keirin Sukan Komanwel Birmingham 2022 ibarat memenangi emas.

Pelumba berusia 27 tahun itu memenuhi sandaran pingat yang diletakkan dengan melakukan kayuhan cemerlang 10.298 saat (s) di di Lee Valley VeloPark, London.

Emas menjadi milik Nicholas Paul dari Trinidad dan Tobago, manakala pelumba Scotland, Jack Carlin membawa pulang pingat perak.

Selepas sering terkandas setiap kali memasuki peringkat separuh akhir dalam kejohanan peringkat tertinggi, Shah Firdaus lega akhirnya memenangi pingat pertamanya pada temasya empat tahun sekali itu.

“Saya kembali ke sini (Sukan Komanwel) dengan satu matlamat, bangkit daripada penyingkiran awal dalam saringan keirin di Gold Coast 2018.

“Bagaimanapun, saya agak kecewa kerana tidak memenangi emas kerana sudah lama Malaysia tidak memenangi acara ini,” kata pelumba kelahiran Johor itu.

Kali terakhir Malaysia memenangi emas keirin Sukan Komanwel adalah menerusi Josiah Ng di New Delhi 2010.

SHAH Firdaus Sahrom (kanan) bersama pemenang pingat emas, Nicholas Paul (dua, kanan) dan Jack Carlin (kiri) yang perak selepas tamat final acara keirin Sukan Komanwel 2022 di Lee Valley VeloPark, London hari ini. – AFP

Kata Shah Firdaus, jaguh berbasikal negara, Datuk Mohd. Azizulhasni Awang turut menitipkan kata-kata semangat dan nasihat kepadanya sebelum turun ke beraksi.

“Saya agak sedih Azizulhasni tiada bersama saya kerana dia seperti abang saya. Setiap kali kami bertanding dalam acara keirin, kami sentiasa memastikan jarak kami tidak terlalu jauh antara satu sama lain.

“Azizulhasni memberitahu saya beraksi dengan mantap dalam acara pecut berpasukan semalam dan saya juga kedua terpantas dalam acara itu… (jadi) dia memberitahu saya hanya mengikut naluri saya dan melakukan pendikitan sepenuhnya,” katanya.

Azizulhasni terpaksa melupakan Sukan Komanwel kali ini kerana masih menjalani pemulihan selepas pembedahan jantung terbuka pada April lalu.

Menurut Shah Firdaus, kejayaan meraih gangsa di Sukan Komanwel turut didedikasikan kepada bapanya yang menyambut ulang tahun kelahiran pada 10 Ogos nanti

“Memenangi pingat gangsa ibarat menang emas. Ia hadiah hari jadi kepada bapa saya,” katanya.

Ini kali ketiga bendera Malaysia berkibar dalam Sukan Komanwel ke-22 selepas angkat berat menghadiahkan dua pingat emas menerusi Mohamad Aniq Kasdan dan Muhammad Aznil Bidin.

Dua lagi pelumba negara, Muhammad Fadhil Zonis dan Muhammad Ridwan Sahrom gagal melayakkan diri ke final apabila kedua-duanya hanya sekadar memperoleh kedudukan di tempat ke-17. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya