PETALING JAYA: Selepas dibelasah Afrika Selatan dalam aksi pembukaan, Malaysia memberikan tentangan lebih baik kepada Scotland sebelum tumpas 12-50 pada perlawanan kedua ragbi tujuh sebelah (7’s) di Sukan Komanwel Birmingham, pagi tadi.
Skuad Bunga Raya 7’s memperoleh dua try pada babak pertama sebelum akur dengan kekalahan kedua dalam Kumpulan B di Stadium Coventry.
Turun dengan status pasukan paling ‘lemah’ di peringkat kumpulan, anak-anak buah Saizul Hafifi Noor mempamer semangat melawan tinggi berbanding ketika kalah 0-46 kepada juara dunia, Afrika Selatan pada hari yang sama.
Azwan Zuwairi Zizi menyempurnakan satu try dan satu conversion, manakala Amalul Hazim Hazim Nasaruddin turut melakukan try untuk skuad Bunga Raya menutup babak pertama dengan 12-26.
Scotland bagaimanapun tampil lebih agresif sebaik saingan bersambung dengan Jake Henry melalukan tiga try dan Lee Jones dengan dua try.
Malaysia akan melengkapkan saingan peringkat kumpulan bertemu Tonga lewat pagi nanti sebelum beraksi dalam peringkat penentuan kedudukan. – UTUSAN ONLINE