UBON RATCHATHANI, Thailand: Atlet karate wanita negara, Madeline Wong memasang impian untuk beraksi di pentas Sukan Olimpik pada suatu masa nanti.
Bagi Madeline, tidak salah untuk menetapkan satu sasaran di peringkat tertinggi dalam kerjayanya sebagai pembakar semangat untuk terus berjaya.
Atlet kelahiran Pulau Pinang itu juga berharap suatu hari nanti sukan karate akandipertanding di pentas Olimpik dan setaraf sukan lain di temasya empat tahun sekali itu.
Pada temasya Sukan Universiti Asean (AUG) 2022 yang berlangsung ketika ini, Madeline berjaya meraih pingat perak dalam acara kata individu wanita.
Biarpun tidak membawa pulang pingat emas tetapi Madeline terap berbangga dengan pencapaiannya itu memandangkan kebanyakan lawannya bertaraf Sukan SEA.
“Pada mulanya saya agak gementar kerana dah lama tak ikut kejohanan antarabangsa, jadi saya cuma jangka dapat pingat gangsa sebabkan status pesaing-pesaing yang lebih tinggi.
“Saya memberikan fokus kepada persembahan sahaja, tak fikir pingat. Mentaliti saya ketika itu mahu buat kejutan dan tinggalkan impak yang positif kepada semua orang.
“Saya berarap pingat ini dapat menaikkan motivasi kepada saya. Impian saya mahu menjadi Olimpian dan harap karate dapat berada di Sukan Olimpik seterusnya,” kata penuntut di Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TAR UC) Pulau Pinang itu.
Palajar jurusan Sarjana Muda Kewangan dan Perakaunan itu juga bertekad memastikan dirinya sentiasa dalam keadaan bersedia untuk kejohanan-kejohanan seterusnya.
“Selepas ini, saya akn memberikan fokus kepada Sukan Universiti Dunia namun, ia keputusan bergantung kepada keputusan di Majlis Sukan Universiti Malaysia (Masum) dan Sukipt,” katanya. – UTUSAN ONLINE