Liek Hou cemerlang rangkul dua kejuaraan di Ireland

Liek Hou cemerlang rangkul dua kejuaraan di Ireland

CHEAH Liek Hou bersama dua kejuaraan yang dimenangidalam Kejohanan Empat Negara Para Badminton Antarabangsa 2022 di Dublin, Ireland semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jaguh badminton para negara, Cheah Liek Hou meneruskan prestasi cemerlang dengan merangkul kejuaraan ke-11 dalam Kejohanan Empat Negara Para Badminton Antarabangsa 2022 di Dublin, Ireland semalam.

Turun selaku pilihan utama, Liek Hou yang beraksi dalam kategori SU5 (masalah fizikal) hanya mengambil masa 39 minit untuk menumpaskan pemain pilihan kedua Jepun, Taiyo Imai 21-17, 21-16 pada perlawanan akhir.

Pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Tokyo 2020 itu turut merangkul kejuaraan kedua dalam kejohanan tersebut apabila gandingannya bersama Muhamad Faris Ahmad Azri memenangi saingan beregu lelaki.

Muhamad Faris-Liek Hou mengalahkan Gullaume Gailly-Mathieu Thomas dari Perancis 21-9, 21-10 dalam aksi pembukaan sebelum menumpaskan pasangan India, Nilesh Balu Gaiwad-Manoj Sarkar  21-6, 21-16 pada aksi kedua.

 

Mereka mengesahkan kejuaraan dengan menewaskan pencabar rapat, Chirag Baretha-Hardik Makkar, juga dari India 21-19, 21-17.

CHEAH Liek Hou memenangi emas beregu lelaki bersama Muhamad Faris Ahmad Azri.

Kejayaan menggondol dua gelaran di Ireland pastinya menaikkan semangat pemain No. 1 dunia itu memburu satu lagi kejuaraan besar pada Sukan Para ASEAN (APG) ke-11 di Solo, Indonesia dari 30 Julai hingga 6 Ogos.

“Saya akan berlepas ke Solo pada 26 Julai, saya rasa temasya itu sangat besar kerana pemain Indonesia Dheva Anrimusthi yang saya bertemu di final Sukan Paralimpik Tokyo tahun lepas juga akan bertanding.

“Memandangkan mereka tuan rumah, ini satu cabaran bagi saya untuk menang di negara lawan dan saya juga harap tiada sebarang kecederaan sebelum dan ketika di Indonesia nanti,” katanya yang dipetik kepada Bernama. 

SKUAD badminton negara yang membawa pulang pingat dari Ireland.

Tahun lalu  Liek Hou mengalahkan musuh ketatnya Dheva 21-17, 21-15, sekali gus mencipta sejarah apabila menjadi pemain pertama memenangi emas Paralimpik dalam kategori SU5 perseorangan lelaki ketika sukan badminton membuat penampilan sulung di Paralimpik Tokyo.

Sementara itu pemain badminton berkerusi roda negara Muhammad Ikhwan Ramli dan pasangannya, Noor Azwan Noorlan mengungguli saingan selepas menewaskan pasangan Rick Cornell Hellmann-Thomas Wandschneider dari Jerman, 20-22, 21-17, 21-11, untuk dinobatkan sebagai juara beregu lelaki WH1 -WH2 (masalah fizikal).

Terdahulu Muhammad Ikhwan gagal memenangi acara WH1 perseorangan lelaki selepas tumpas kepada Hiroshi Murayama dari Jepun 10-21, 14-21. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya