KOTA TINGGI: Latihan intensif sejak tiga bulan lalu terbaloi apabila peserta cilik, Hannah Zahra Md. Zainizam menjadi peserta pertama menamatkan saingan Iron Kids kategori perempuan di Desaru Coast, di sini hari ini.
Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Penawar 2 berusia 10 tahun itu mengakui pencapaian tersebut adalah yang terbaik baginya selepas menduduki tempat kelima ketika menyertai pertandingan itu pada 2019.
Hannah Zahra berkata, kemenangan itu membakar semangatnya untuk terus melakar kejayaan pada edisi Iron Kids yang akan datang.
“Selepas balik sekolah, saya berlatih larian pada waktu petang dan berbasikal pada malamnya di bawah bimbingan jurulatih, manakala ayah akan melatih saya berenang pada masa terluang.
“Saya rasa sangat bangga kerana ini kali pertama dapat menamatkan saingan Iron Kids pada tempat pertama. Saya rasa teruja untuk terus dapat nombor satu lagi,” katanya ketika ditemui, di sini.
Anak sulung daripada dua beradik itu akan memberi tumpuan terhadap latihan berbasikal kerana ia sangat mencabar ketika melalui laluan berbukit.
Hannah Zahra menjadikan bapanya yang mengambil bahagian dalam acara Ironman sebagai sumber inspirasinya untuk kekal berdisiplin menjalani latihan.
Bagi kategori kanak-kanak lelaki,
Ikram Shrudin tidak menyangka akan berada dalam kelompok lima terbaik, apatah lagi pertama kali menyertai pertandingan berkenaan.
Murid berusia 10 tahun itu sebelum ini pernah menyertai acara triathlon seumpama itu, namun belum pernah berada di tahap pencapaian seperti ini.
“Ini adalah Iron Kids yang pertama saya sertai dan berjaya menduduki kelompok lima terbaik. Saya sangat puas hati dan pasti nak sertai lagi dan cuba mendapat tempat pertama pula.
“Acara ini sangat mencabar lebih-lebih lagi bagi larian kerana sudah hampir kehabisan tenaga setelah berenang dan berbasikal,” katanya.
Seramai 122 peserta cilik dari 10 buah negara termasuk dari Amerika Syarikat, United Kingdom, Poland dan India menyertai Iron Kids sebagai acara pembukaan tirai kejohanan sukan ekstrem Iron Man 70.3 Desaru Coast.
Iron Kids dibahagikan kepada dua kategori, iaitu kanak-kanak berusia tujuh hingga 10 tahun melibatkan dalam acara renang 100 meter, berbasikal empat kilometer dan larian 1.3 kilometer.
Bagi kategori 11 hingga 15 tahun pula melibatkan acara renang 200 meter, berbasikal lapan kilometer dan larian 1.9 kilometer.
Acara 5150 Desaru Coast dan Desaru Coast Sprint Triathlon bermula hari ini, manakala acara kemuncak Iron Man 70.3 Desaru Coast pada Ahad.