PETALING JAYA: Pengadil seharusnya meneruskan perlawanan dan memberi advantage kepada Kelantan FC untuk meneruskan pergerakan serangan memburu gol.
Itulah reaksi bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Subkhiddin Mohd. Salleh mengenai tindakan pengadil, Muhammad Nasruddin Muhammad Tamrin meniup wisel memberhentikan permainan dalam insiden kontroversi melibatkan perlawanan Liga Perdana di antara Kelantan FC dan Johor Darul Ta’zim II (JDT) kelmarin.
Dalam aksi di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu yang berakhir 1-1 itu, situasi tegang membayangi perlawanan selepas Nasruddin memberhentikan permainan ketika tuan rumah berpeluang menjaringkan gol.
Berdasarkan klip video membabitkan insiden terbabit, penyerang import The Red Warriors (TRW), Kervens Belfort dikasari pemain JDT II, Mohd. Feroz Baharuddin tetapi bola berjaya dikawal pemain Kelantan, Syed Sobri Syed Mohd.
Begitupun ketika Syed Sobri cuba melancarkan serangan, Nasruddin meniup wisel dan menimbulkan situasi tegang dengan beberapa pemain dan pegawai pasukan di bangku simpanan Kelantan tidak berpuas hati.
Kata Subkhiddin, advantage yang sangat baik jelas dapat dilihat dan perlu dilaksanakan untuk pasukan penyerang supaya mereka dapat meneruskan serangan.
“Saya juga sedikit ‘sangsi’ semasa bola diterima oleh pemain penyerang, kelihatan seperti dimainkan dengan tangan tetapi video-evidence (bukti video) tidak jelas untuk menghukum kesalahan terhadap pemain penyerang.
“Sama ada beliau menerima bola dengan tangan terlebih dahulu ataupun pemain pertahanan melakukan kesalahan terlebih dahulu sebelum bola mengenai tangannya, on field decision oleh pengadil perlulah dihormati,” kata pengadil FIFA itu kepada Mingguan Malaysia.
Subkhiddin berkata, daripada sudut pengurusan perlawanan, pengadil seharusnya lebih bersabar dan meneruskan permainan kerana kelebihan untuk menjaringkan gol memihak kepada pasukan yang tidak melakukan kesalahan.
“Kecederaan yang dialami oleh rakan sepasukan pemain penyerang bukanlah serius seperti head butted (ditanduk), luka parah dan yang sepertinya yang benar-benar serius dan memerlukan pemberhentian permainan dengan segera.
“Pada akhirnya saya dapati pengadil memulakan semula permainan selepas ‘pemberhentian sementara yang panjang’ dengan sepakan percuma terus yang diberikan kepada pasukan penyerang.
“Ini bermaksud pemain penyerang tidak melakukan sebarang kesalahan sebaliknya kesalahan dilakukan oleh pemain pertahanan, maka oleh itu saya berpendapat pengadil seharusnya lebih bijak untuk memberikan ‘advantage’ kepada pasukan penyerang,” katanya.
KEDUDUKAN LIGA PERDANA
Selain itu tambahan 13 minit juga diberikan pengadil ekoran kecederaan yang dialami penyerang import tuan rumah.
Kelantan juga menutup permainan dengan 10 pemain gara-gara layangan kad merah yang diterima pemain importnya, Jasmir Mehat pada minit ke 36.
TRW bagaimanapun kekal menerajui Liga Perdana dengan mengumpul 26 mata, tiga mata mengatasi Terengganu FC II. – UTUSAN