Jin Wei tagih bantuan ISN

Jin Wei tagih bantuan ISN

GOH Jin Wei berdepan isu kecergasan ketika tewas kepada pemain Taiwan, Tai Tzu Ying pada pusingan kedua Malaysia Masters di Axiata Arena, Bukit Jalil semalam. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Institut Sukan Negara (ISN) mungkin boleh mempertimbangkan untuk meng­­hulur bantuan buat perseo­rangan wanita profesional negara, Goh Jin Wei yang tampak bergelut ketika beraksi pada Malaysia Masters.

Jin Wei mempamer aksi terpuji ketika berentap dengan pemain No. 2 Dunia, Tai Tzu Ying semalam apabila berjaya mencuri set pertama 21-16, sebelum akur dengan kehebatan lawan pada baki dua set berikutnya dengan keputusan 7-21, 9-21.

Keadaan fizikal Jin Wei tampak lemah dengan riak wajahnya pucat ketika berdepan jaguh Taiwan itu.

Perkara sama turut terjadi ketika Jin Wei bertarung dengan pemain Amerika Syarikat, Zhang Bei Wen ketika aksi pusingan pertama kelmarin apabila pemain itu mengadu hampir pitam.

Bekas juara remaja dunia itu mengakui, selepas berjaya menjalani pembedahan usus pada 2019 dia hanya boleh makan sehari sekali dan masih bergantung kepada ubat-ubatan untuk meneruskan kehidupan seha­rian.

Bergerak sebagai pemain profesional, Jin Wei sedar dia tidak lagi dapat menerima keistimewaan sama seperti ketika bernaung di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

“Ketika saya buat keputusan meninggalkan BAM, saya sedar saya perlu bersedia persiapkan segala-galanya sendiri.

“Saya tidak boleh meminta-minta kepada mereka (BAM dan ISN) tetapi jika mereka sedia hulurkan bantuan, ia satu bonus dan saya sangat menghargainya,” kata Jin Wei.

Biarpun Jin Wei berada di tangga ke-69 dunia, di belakang dua lagi pemain negara iaitu Soniia Cheah (40) dan S. Kisona (54), namun prestasinya dilihat lebih baik biarpun baru keluar daripada persaraan Disember tahun lalu.

ISN mungkin boleh menghulurkan bantuan buat Jin Wei dari sudut kepakaran sains sukan bagi membantu meningkatkan kecergasannya, apatah lagi dia bakal jadi sandaran negara dalam ­Sukan Komanwel Birmingham yang akan membuka tirai pada 28 Julai ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya