KUALA LUMPUR: Goh Jin Wei hampir pitam sewaktu beraksi dalam pusingan pertama menentang Zhang Beiwen dari Amerika Syarikat, sebelum pemain perseorangan wanita Malaysia itu melakar kemenangan pada Kejohanan Badminton Malaysia Masters 2022 di Axiata Arena Bukit Jalil, dekat sini, hari ini.
Pemain berusia 22 tahun itu mengejutkan Beiwen yang menghuni ranking No. 16 dunia menerusi kemenangan straight set 21-19, 21-18.
Kemenangan tersebut menemukan Jin Wei yang menghuni kedudukan ke-69 dunia dengan pilihan kedua, Tai Tzu Ying dari Taiwan pada pusingan kedua, esok.
Ketika ditemui pemberita selepas perlawanan, Jin Wei sempat berkongsi cerita tentang dirinya yang hampir pitam ketika berada dalam gelanggang.
“Saya hampir nak pengsan ketika permainan masuk set kedua, masa itu saya berasa seperti susah hendak fokus,” kata Jin Wei yang akhirnya berjaya menamatkan permainan tanpa sebarang insiden tidak diingini berlaku.
Mengulas mengenai pertemuan menentang Tzu Ying, esok, Jin Wei memberitahu, bukan mudah menentang pemain handalan dunia seperti bintang Taiwan itu.
“Saya pernah bertemu dengannya pada 2018 (di Terbuka Malaysia), jadi saya harap perlawanan, esok, saya mampu memberi tekanan tinggi kepadanya.
“Tzu Ying ada peminat yang ramai di sini, jadi, saya juga harap dapat meraih sokongan daripada penonton,” ujar Jin Wei dalam nada merendah diri.
Bercakap pula tentang perancangan untuk memperbaiki kedudukan rankingnya, Jin Wei berkata, dia sememangnya mempunyai formula untuk memperbaiki prestasi
semasanya dan sekali gus, cuba untuk menempatkan diri ke dalam kelompok pemain handalan dunia.
“Saya memang ada formula sendiri untuk meningkatkan prestasi, cuma sekarang saya masih berusaha untuk mengejar sasaran itu,” jelasnya yang mendapat bimbingan daripada jurulatih kelahiran Indonesia, Nova Armada. – UTUSAN ONLINE