Hari terakhir Silat Dunia kecoh, Adib diarah undur diri

Hari terakhir Silat Dunia kecoh, Adib diarah undur diri

EGAWAI bertugas cuba menenangkan penonton ekoran kekecohan yang berlaku sewaktu pertemuan Mohammad Khairi Adib Azhar dan Aniq Asri Mohammad Yazid di Kejuaraan Pencak Silat Dunia Ke-19 di MITC, Ayer Keroh, Melaka hari ini. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Keputusan mengarahkan pesilat negara, Mohammad Khairi Adib Azhar menarik diri sewaktu menentang Aniq Asri Mohammad Yazid dari Singapura bagi Kelas B dalam perlawanan akhir Kejuaraan Pencak Silat Dunia Ke-19 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini hari ini adalah keputusan yang tepat.

Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan (Pesaka), Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, beliau terpaksa turun dari pentas dan meminta Mohammad Khairi Adib mengundur diri seminit sebelum tamat, setelah melihat juri yang mengadili pertarungan itu berlaku tidak adil.

Menurutnya, seluruh rakyat Malaysia yang menyaksikan pertarungan itu melihat catatan markah Mohammad Khairi Adib tidak bergerak, walaupun pesilat itu banyak melakukan pukulan dan tendangan yang sepatutnya diberikan mata.

“Saya bertanggungjawab menyuruh Adib mengundur diri setelah melihat catatan markah di papan elektronik tidak bergerak dan kita boleh lihat banyak serangan-serangan yang jelas tidak dikira oleh juri.

“Serangan yang dilakukan bukan ditepis atau pun serangan melindungi juri, sebaliknya ia disertakan dengan bunyi seperti tendangan tepat sehingga menyebabkan pesilat lawan berundur ke belakang.

“Saya menyuruh Adib mengundur diri daripada meneruskan perlawanan adalah berdasarkan peraturan yang menyebut pasukan yang bertanding dibenarkan untuk mengundur diri atas sebab-sebab yang kita fikir adalah munasabah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar khas untuk mengulas kekecohan yang berlaku di Arena 1 apabila Mohammad Khairi Adib diarahkan untuk turun dari pentas, seminit sebelum perlawanan tamat ketika kedudukan mata 7-16 gara-gara kelemahan mutu pengadilan juri yang bertugas.

Insiden itu mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan pengurus, jurulatih, pesilat dan penonton yang membantah juri. Keadaan tegang hampir 10 minit malah ada botol minuman dilontarkan ke tengah gelanggang dari tempat penonton.

Mengulas lanjut, Megat Zulkarnain berkata, kontinjen silat negara telah mengemukakan bantahan dan turut memohon perlawanan semula diadakan antara kedua-dua pesilat itu.

Menurutnya, bantahan serta permohonan perlawanan semula itu dikemukakan kepada Perwakilan Teknikal Antarabangsa (ITD).

“Sama ada mereka menerima atau menolak, kita hanya menunggu dan bersedia menerima sebarang keputusan jika tidak memihak kepada Adib,” ujarnya.

Beliau berkata, sebelum ini ITD telah membenarkan perlawanan ulangan antara pesilat Brunei dan Indonesia diadakan, apabila permohonan dari Brunei diterima. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya