PARIS: Perlumbaan berbasikal paling berprestij di dunia dan dikhaskan untuk lelaki, Tour de France (TdF) akan berakhir di Paris hari ini.
Begitupun pada hari yang sama, dan di bandar sama edisi ke-109 perlumbaan itu berakhir, versi lain Tour de France akan bermula.
Kali ini, ia khas untuk semua pelumba wanita jelajah terbaik di dunia. Ini kali pertama selepas 33 tahun pelumba elit wanita akan bertanding dalam Tour de France.
Dikenali sebagai Tour de France Femmes, perlumbaan itu akan berlangsung sebanyak lapan peringkat meliputi jarak keseluruhan 1,033.6 kilometer (km).
Dua pelumba veteran Belanda, Annemiek van Vleuten, 39, (Movistar) dan Marianne Vos, 35, (Jumbo-Wisma) menjadi sebutan untuk menguasai perlumbaan bersejarah itu, selain bintang muda seperti Marta Cavalli, 24, dari Itali.
“Ketika saya seorang gadis kecil, saya berdiri di tepi padang sambil bersorak kepada pelumba. Saya tidak dapat membayangkan satu hari nanti saya sendiri akan menunggang dalam perlumbaan berbasikal terbesar di dunia.
“Ia benar-benar akan berlaku sekarang. Saya sudah mula merasakan ketegangan perlumbaan, namun ia persaingan sihat dan amat diharapkan semua pelumba.
“Sebenarnya, saya tidak pernah terfikir satu hari nanti akan bersaing dalam Tour de France,” kata Vos, yang pernah memenangi perlumbaan hebat seperti Giro d’Italia Femminile dan Piala Lebuh Raya Dunia. – AGENSI