PETALING JAYA: Selangor mensia-siakan dua kelebihan yang dimiliki malam ini – mendahului 2-0 pada babak pertama dan beraksi di laman sendiri apabila tumbang 2-3 kepada Negeri Sembilan dalam saingan Liga Super.
Keputusan itu bukan sahaja menyaksikan rekod tanpa kalah Red Giants di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) musim ini lebur, malah memberi kekalahan kedua berturut-turut buat mereka selepas tewas 2-0 kepada Sri Pahang, Rabu lalu.
Masuk sebagai pemain gantian, Sean Eugene Selvaraj muncul wira Negeri Sembilan apabila rembatan cantik dari luar kotak penalti mengesahkan kemenangan pasukannya pada minit ke-88.
Anak-anak buah bimbingan Michael Feichtenbeiner bermula langkah kanan apabila membuka jaringan menerusi bintang penyerang Brazil, Caion seawal minit kelapan.

PENYERANG Selangor, Caion meraikan jaringannya ketika menentang Negeri Sembilan di Petaling Jaya. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Jaringan itu menaikkan semangat Gergasi Merah untuk terus menambah gol, dan akhirnya Yazan Al-Arab menggandakan kedudukan 2-0 selepas menanduk sepakan bebas Mukhairi Ajmal Mahadi pada minit ke-30.
Gol tersebut bagaimanapun mendapat bantahan daripada pemain Negeri Sembilan kerana pengadil, Fitri Maskon didakwa sudah meniup wisel sebelum tandukan dilakukan Yazan.
Pengendali Negeri Sembilan, K. Devan juga dilihat cuba membantah keputusan pengadil, namun Fitri tetap membenarkan jaringan kedua Selangor itu.
Insiden berkenaan menyaksikan perlawanan terhenti selama lima minit apabila pemain dan pengurusan Negeri Sembilan masih belum berpuas hati dengan keputusan pengadil.

Bersambung babak kedua, Selangor dan Negeri Sembilan lebih mempamerkan corak permainan berhati-hati tanpa ada sebarang percubaan merbahaya selepas 10 minit beraksi.
Negeri Sembilan berjaya merapatkan kedudukan menerusi Gustavo Dos Santos selepas sepakan percumanya pada minit ke-66 menewaskan penjaga gol, Samuel Someville.
Dos Santos terus menceriakan kem Negeri Sembilan dengan gol penyamaan pada minit ke-80 apabila menanduk bola sepakan bekas Ahmad Khuzaimi Piee sebelum gol Sean Selvaraj melengkapkan kebangkitan hebat skuad Hobin Jang Hobin.
Kemenangan menyaksikan Negeri Sembilan mengumpul 26 mata dan kekal di kedudukan ketiga, manakala Selangor di tangga keenam dengan 16 mata. – UTUSAN ONLINE