KUALA LUMPUR: Harapan utuk melihat sekurang-kurangnya satu wakil negara lolos ke final Terbuka Malaysia tidak kesampaian apabila beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tumbang kepada pasangan Jepun, Takuro Hoki dan Yugo Kobayashi di Axiata Arena, Bukit Jalil sebentar tadi.
Set pertama, Aaron-Wooi Yik beraksi baik sehingga mendahului 18-14, namun Hoki-Kobayashi cekal mengejar pasangan negara menyaksikan keputusan menjadi 21-23.
Anak-anak buah Rexy Mainaky kian hilang punca di set kedua dan akhirnya Hoki- Kobayashi unggul menempah slot ke final esok dengan keputusan 21-9.
“Memang kami mengawal set pertama, namun bila kami berada di mata sangat penting, ia sentiasa menjadi masalah buat kami, lawan ambil kesempatan untuk mendahului kami bila kami buat kesilapan di waktu sebegitu.
“Kami kena fikir kembali apa yang sering hantui kami bila memasuki pusingan separuh akhir dan akhir, kami kena duduk dan bincang kembali dengan jurulatih kami untuk kenali masalah ini,” jelas Aaron.
Bagaimanapun Aaron-Wooi Yik akan kembali turun ke gelanggang minggu hadapan bagi saingan Masters Malaysia yang akan berlangsung 5 hingga 10 Julai. – UTUSAN ONLINE