PETALING JAYA: Muhammad Azeem Fahmi tetap berlepas ke Colombia dengan keyakinan tinggi biarpun masih dibayangi false start.
Kelmarin, Azeem bersama beberapa pelari negara menjalani simulasi menggunakan sistem blok permulaan, di mana dua daripada tiga percubaannya ‘sangkut’.
Situasi itu mengimbau kembali insiden Sukan SEA di Vietnam, Mei lalu apabila dia tidak sempat berlari dalam saringan 100 meter (m) gara-gara false start.
Azeem, 18, yang tidak mahu digelar ‘Usain Bolt’ Malaysia bagaimanapun optimis, insiden malang di Vietnam tidak akan berulang apabila menyertai Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 tahun (B-20) yang berlangsung di Cali, Colombia dari 1 hingga 6 Ogos depan.
“Ini proses pelajaran untuk saya, malah saya rasa ramai atlet akan hadapi situasi seperti ini juga (masih melakukan false start semasa latihan).
“Bagi saya, tidak apa asalkan saya tetap cuba memperbaiki kesilapan. Saya percaya jika tetapkan fokus, semua akan jadi baik.
“Untuk kejohanan dunia nanti, saya dan jurulatih menumpukan kepada teknik dan ritma larian serta kekuatan.
“Inilah peluang saya membuktikan siapa saya sebenarnya dan juga mengatasi kenangan hitam dalam Sukan SEA lalu,” katanya yang berazam untuk memecah rekod peribadi terbaik 10.28 saat dalam 100m.
Dalam temasya Vietnam, dua bulan lalu, Azeem melakukan kesilapan di blok permulaan apabila kakinya tidak memijak blok permulaan malah dia juga didapati mendahului perlumbaan dengan catatan masa 0.058 saat.