KUALA LUMPUR: Fajar Alfian-Muhamad Rian Ardianto terus menjadi badi buat pasangan negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani apabila kalah buat kali ketiga berturut-turut kepada beregu Indonesia itu pada separuh akhir badminton Terbuka Malaysia hari ini.
Biarpun mendapat sokongan padu hampir 8,000 penonton di Axiata Arena, Bukit Jalil, ia tidak mampu membantu pasangan No. 12 dunia melakar kemenangan apabila tumpas mudah 14-21, 12-21 kepada lawan yang menghuni ranking ketujuh dunia.
Dua pertemuan terakhir mereka sebelum ini menyaksikan Sze Fei-Nur Izzuddin turut tewas pada Terbuka Switzerland, Mac lalu dan Terbuka Indonesia, bulan lalu.
Dengan kekalahan Sze Fei-Nur Izzuddin, harapan tunggal Malaysia kini bergantung kepada pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang akan berdepan juara dunia dari Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dalam satu lagi aksi separuh akhir sebentar lagi. – UTUSAN ONLINE