MUNICH: Bayern Munich bersetuju dengan tawaran Juventus untuk mendapatkan Matthijs de Ligt dan dijangka diselesaikan dalam masa terdekat.
Pertahanan tengah Belanda itu akan disunting pada harga 68 juta pound (RM80.97 juta) dengan kontrak lima tahun sehingga 2027.
Sebelum ini, Chelsea menyuarakan hasrat mendapatkan pemain berusia 22 tahun itu, namun kini tumpuan mereka beralih terhadap pertahanan lain selepas sukar meyakinkan De Light untuk berpindah ke London.
“Setelah dihubungi sepanjang hari, akhirnya perjanjian lisan berjaya dicapai. Bidaan terakhir diterima Juventus dengan pakej 80 juta pound (RM95.26 juta).
“De Light juga sudah mencapai kata putus mengenai terma peribadi dan akan menandatangani sehingga Jun 2027,” jelas wartawan sukan tersohor Itali, Fabrizio Romano.
De Light menyertai Juventus pada 2019 dengan nilai 67.5 juta pound (RM80.38 juta) selepas menampilkan aksi memukau bersama Ajax Amsterdam.
Dia menjadi kapten termuda Ajax dan membimbing pasukannya mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara musim 2018/2019 di usia 19 tahun.
De Light telah membuat 117 penampilan bersama Juventus dan menjaringkan lapan gol sepanjang tiga musim di Itali.
Ketua Pegawai Eksekutif Bayern Munich, Oliver Kahn sebelum ini pernah mendedahkan bahawa pemain itu berminat di beraksi Jerman.
“Kami pernah mengadakan perbincangan dan dia mahu ke Bayern Munich,” katanya. – AGENSI