PETALING JAYA: Selepas gagal menaiki podium dalam penampilan sulung empat tahun lalu, Bonnie Bunyau Gustin tekad menghadirkan pingat emas dan mengubati kekecewaan apabila kembali bertarung dalam Sukan Komanwel di Birmingham, 28 Julai hingga 8 Ogos depan.
Pada kemunculan pertamanya di Gold Coast 2018, jaguh powerlifting negara itu sekadar menduduki tangga keempat dalam saingan 72 kilogram (kg).
Begitupun selepas empat tahun berlalu, atlet kelahiran Betong, Sarawak itu telah menunjukkan peningkatan ketara hingga membolehkannya memenangi emas Sukan Paralimpik Tokyo 2020, Kejohanan Dunia 2019 dan 2021 serta emas Piala Dunia 2021.
Dia juga memecah rekod dunia dengan angkatan 230kg pada Piala Dunia Fazza di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Jun, tahun lalu.
“Saya tidak kisah catatan angkatan berat yang dilakukan nanti, saya cuma mahu bagi ‘kaw-kaw’ untuk dapatkan pingat emas di sana,” katanya yang mengakui berdepan sedikit kecederaan di bahu kiri.
Badang kerdil berusia 23 tahun itu berkata, keputusan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) memilihnya sebagai pembawa Jalur Gemilang dalam upacara pembukaan Sukan Komanwel menjadi pembakar semangat untuk memburu emas.
Bonnie akan bergandingan dengan pemain skuasy wanita, Aifa Azman bagi menggalas tanggungjawab sebagai pembawa Jalur Gemilang kontinjen Malaysia di Sukan Komanwel Birmingham 2022.
Mengenai penarikan diri rakan seperjuangannya, Jong Yee Khie akibat kecederaan, Bonnie mengakui pasti berasa sunyi tanpa kehadiran sahabat baiknya itu di Birmingham.