PETALING JAYA: Menteri Belia dan Sukan (KBS), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mencuri tumpuan apabila membuat penampilan khas dalam drama popular terbitan Astro, Ratu Ten Pin 2: Shalin.
Menerusi video yang dikongsi oleh Astro Arena di Instagram dan Twitter, seorang wanita diserang oleh seorang penyokong lelaki yang bertindak membaling telur ke kepalanya ketika turun dari sebuah bas.
Bagaimanapun, kejadian itu berjaya dihentikan seorang lelaki yang juga turun dari bas juga dan memarahi penyerang tersebut di samping memeriksa keadaan wanita itu bagi memastikan dia berada dalam keadaan baik.
Menariknya lelaki penyelamat itu ialah Faizal.
Tindakan ‘berani’ Faizal menerima tawaran berlakon itu mendapat pujian dan rata-rata komen mengatakan Faizal sangat meminati dan berbakat dengan industri seni seiring dengan kebolehannya menyanyi, menari joget dan berlakon.
“Sungguh menjiwai watak….” tulis pemilik akaun nasshairinal95 di Instagram. – UTUSAN