UBON RATCHATHANI : Boleh dikatakan panahan kem memanah negara di Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022 sedikit ‘tersasar’ apabila dalam 10 aksi final hari ini, mereka hanya berjaya membawa pulang empat pingat emas.
Untuk rekod, lima pingat emas disasarkan untuk kem memanah di temasya sukan tersebut namun ia tidak dapat ditunaikan selepas hanya empat emas berjaya diraih menerusi tiga acara recurve dan satu acara compound.
Emas pertama dihadiahkan dalam acara recurve berpasukan wanita yang dibarisi Syaqiera Mashayikh, Nuramalia Hanessha Mazlan dan Nur Afisa Abdul Halil yang menumbangkan trio dari Thailand, Tundon Amornratanabongkod Tundon, Tapaneeya Silawong dan Natthakan Jantima menerusi keputusan 6-2.
Gandingan Ahmad Afiq dan Syaqiera memastikan emas kedua dalam acara recurve berpasukan menewaskan pasangan Thailand 5-3 sebelum Muhamad Zarif Syahiir ZolkepelI menumbangkan Prastyadi Alviyanto Bagas untuk emas recurve individu lelaki dengan keputusan 6-2.
Begitupun, trio berpasukan lelaki yang dianggotai Ahmad Afiq, Muhamad Zarif dan Muhammad Farhan Hakim A Rhyme berpuas hati dengan perak selepas tumbang 4-5 di tangan trio Thailand, Phontakorn Chaisilp dan Hahn Maximilian Soithong Aitthiwat.
Syaqiera yang beraksi di pentas Sukan Olimpik Tokyo 2020 juga terlepas satu lagi emas apabila dikecewakan pemanah dari Indonesia, Octavia Rezza bagi acara recurve individu wanita dengan keputusan 5-6.
Bagi aksi compound, pingat emas Malaysia hadir menerusi trio Iman Aisyah Norazam, Kayalvhily dan Nuraqilah Khairul yang mengetepikan wakil tuan rumah, Nichaphat Bunyapalin, Kodchaporn Pratumsuwan serta Kamonchanok Naengnoi 229-227 untuk emas dalam acara compound berpasukan wanita.
Namun, empat acara seterusnya menyaksikan skuad negara terpaksa berpuas hati dengan pingat perak apabila tumbang di tangan lawan masing-masing.
Secara keseluruhan pada temasya AUG kali ini, skuad memanah negara menghadiahkan empat emas, lima pingat perak dan satu pingat gangsa-UTUSAN ONLINE