UBON RATCHATHANI : Acara lawan pedang di Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022 yang membuka tirai hari ini menyaksikan Malaysia bermula dengan positif selepas berjaya meraih emas pertama menerusi acara foil individu lelaki.
Kejayaan berkenaan hadir menerusi Tengku Amran Sharif Tengku Muadzam Sadruddin selepas menewaskan rakan senegara, Hydeer Natakusuma Akson 15-13 pada pentas final di Sunee Tower sebentar tadi.
Atlet berumur 18 tahun dari Kolej Methodist Kuala Lumpur itu menampilkan aksi bertenaga dalam persaingan sengit dengan Hydeer sekali gus membuktikan gandingan mereka akan memperkuatkan acara foil berpasukan Ahad ini.
“Saya juga berharap pingat emas ini dapat menyuntik semangat rakan-rakan lain yang akan turun dalam acara masing-masing esok. Saya juga percaya dapat tingkatkan prestasi sendiri walaupun saya merasakan telah melakukan yang terbaik hari ini.
“Kami juga ada peluang untuk memenangi pingat emas dalam foil berpasukan lelaki selepas ini kerana kami mempunyai pasukan yang kuat selain persiapan yang baik,” katanya yang kali pertama membuat penampilan di pentas AUG.
Bagaimanapun, Hasrat skuad lawan pedang untuk menambah emas kedua pada hari pertama tidak menjadi kenyataan selepas Yap Jing Xuan tewas 11-15 kepada atlet Thailand, Warisa Winya dari Thailand pada aksi final epee individu wanita.
Seorang lagi wakil negara yang turun beraksi hari ini iaitu Tyrsten Fong pula terkandas di pusingan pertama saber individu lelaki kepada Nicholas Loo Wei-Hao dengan kekalahan 10-15.
Esok, cabaran negara akan digalas tiga atlet epee individu lelaki, Isaac Kai Xuan Seet, Lim Jit Ian dan Muhammad Aiman Najmi Mohd. Zarif Rizal selain Philippa Jean Ong Ziyi (foil wanita) serta Natania Tai Li Suet (saber wanita).-UTUSAN ONLINE