UBON RATCHATHANI: Malaysia membuktikan penguasaan dalam acara badminton di Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022 apabila mempunyai wakil dalam empat aksi final esok.
Lebih manis, satu pingat emas sudah berada dalam gengaman skuad negara selepas pasangan beregu wanita akan berentap sesama sendiri sekali gus melengkapkan sasaran tiga emas.
Beregu wanita negara Teoh Lexuan-Yap Rui Chen menumpaskan lawan dari Indonesia Nahla Aufa Dhia Ulhaq-Elizabeth Jovita 21-6,21-12 sekali gus mengesahkan tiket ke pusingan akhir.
Rentak cemerlang turut dilakar pasangan Desiree Siow-Ng Qi Xuan untuk menundukkan wakil tuan rumah Sasikarn Piyawatcharavijit-Pornnicha Suwatnodom 21-13,19-21,21-15 dalam tempoh 48 minit.
Selain itu, perseorangan lelaki negara, Faiz Rozain turut cemerlang pada perlawanan separuh akhir apabila mengalahkan Muhammad Febriansyah 21-5 dari Indonesia sebelum lawannya itu menarik diri pada set kedua akibat kecederaan.
Turut mara ke final esok ialah pasangan beregu lelaki negara Mohammad Faris Zaim Abdul Khalid-Ameer Amri Zainuddin dan beregu campuran Kok Xian Tan-Desiree Siow.
Sementara itu, ketua jurulatih badminton negara Datuk Rashid Sidek berkata, sasaran tiga emas sudah berjaya dicapai namun, jika berjaya menghadirkan lebih banyak emas adalah bonus buat kontinjen negara.
“Kita sememangnya mensasarkan lebih banyak pingat dapat diperoleh pada pertarungan final esok. Sudah semestinya barisan pemain berada pada keadaan terbaik untuk memastikan kejayaan berpihak kepada Malaysia,”katanya
Sebelum ini, kem badminton negara beraksi cemerlang dalam acara berpasukan apabila meraih dua emas untuk kategori lelaki dan wanita.-UTUSAN ONLINE