PETALING JAYA: Harapan untuk melihat perseorangan lelaki Ng Tze Yong meneruskan kemaraan pada kejohanan badminton Terbuka Singapura tidak kesampaian apabila tewas di suku akhir sebentar tadi.
Pemain berusia 22 tahun itu yang berada di ranking 47 dunia cuba berikan tentangan sengit kepada pilihan keempat, Anthony Sinisuka Ginting, namun pengalaman menjadi pemisah apabila jaguh Indonesia tersebut mudah mencatat kemenangan 21-15, 21-12 dalam tempoh 35 minit, sekali gus tempah slot ke separuh akhir.
Tze Yong sebelum ini melakar kejutan bermula dengan menyingkirkan naib juara Malaysia Masters, Angus Ng Ka Long pada pusingan pembukaan sebelum meneruskan momentum menewaskan seorang lagi pemain Hong Kong, Lee Cheuk Yiu yang berada di kedudukan No. 15 dunia.
Pemain yang berasal dari Johor itu tidak akan menyertai Terbuka Taiwan 19 hingga 24 Julai depan, sebaliknya akan pulang ke tanah air untuk bersiap menghadapi Sukan Komanwel Birmingham yang akan membuka tirai pada 28 Julai. – UTUSAN ONLINE