KUALA LUMPUR: Misi membalas dendam beregu badminton wanita negara, Anna Cheong-Teoh Mei Xing tercapai apabila menyingkirkan pilihan kelima, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara dari Jepun pada pusingan kedua Malaysia Masters di Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini.
Anna-Mei Xing yang tumpas kepada beregu wanita No. 6 dunia itu pada suku akhir Terbuka Malaysia, minggu lalu melakar kemenangan 21-11, 21-15 dalam masa 38 minit untuk menempah slot ke suku akhir.
Kemenangan sensasi ke atas juara dunia dua kali itu membolehkan pasangan No. 37 dunia tersebut berdepan beregu No. 11 dunia dari Korea Selatan, Jeong Na Eun-Kim Hye Jeong pada suku akhir esok. Kedua-dua pasangan tidak memiliki rekod pertemuan.
Sementara itu, beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Valeree Siow yang menjadi wakil pertama negara turun ke gelanggang untuk pusingan kedua Malaysia Masters hari ini tumpas kepada pasangan Thailand, Supak Jomkoh-Supissara Paewsampran 10-21, 12-21 dalam tempoh 31 minit.
Turut tersingkir beregu campuran Toh Ee Wei-Hoo Pang Ron yang disingkirkan juara Olimpik, Wang Yilyu-Huang Do Ping dari China 16-21, 16-21.
Cabaran Chan Peng Soon-Cheah Yee Seen juga berakhir dengan kekalahan 11-21, 13-21 kepada pilihan kedua dari China, Zheng Siwei-Huang Yaqiong. – UTUSAN ONLINE