KUALA LUMPUR: Terkandas sekali lagi di suku akhir, kali ini dalam badminton Malaysia Masters, beregu wanita negara, Anna Cheong-Teoh Mei Xing enggan memperlahankan langkah, sebaliknya menjadikan Kejohanan Dunia di Tokyo, bulan depan sebagai sasaran.
Semalam, impian beregu No. 37 dunia itu untuk menjejakkan kaki ke separuh akhir berkecai apabila tunduk kepada pasangan No. 11 dunia dari Korea Selatan, Jeong Na Eun-Kim Hye Jeong 21-14, 21-18.
Walaupun tewas kepada juara Terbuka Korea itu, Anna-Mei Xing enggan terbawa-bawa dengan perasaan kecewa dan mahu segera bangkit menjelang Kejohanan Dunia.
Anna berkata, masalah utama dia dan Mei Xing ialah bagaimana dapat bermain lebih konsisten dan tidak kerap melakukan kesilapan sendiri.
“Banyak yang perlu kami belajar untuk mengawal situasi ketika ketinggalan dan mengendalikan tekanan agar mampu bangkit memberikan tentangan.
“Jika ditanya perasaan kami, sebenarnya kami agak gembira dengan persembahan keseluruhan kerana berjaya ke suku akhir Malaysia Masters dan Terbuka Malaysia,” katanya.
Mei Xing pula berkata, berdasarkan prestasi mereka ketika ini, dia dan Anna berhajat untuk mara sehingga ke suku akhir pada Kejohanan Dunia.
“Mengejutkan beregu-beregu handalan dunia mendorong kami untuk melangkah lebih jauh, saya rasa tidak keterlaluan jika kami mahu mara sehingga ke suku akhir,” ujarnya.
Sasaran itu dibuat selepas melihat kepada kemampuan menundukkan beregu handalan seperti Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara dari Jepun yang merupakan juara dunia dua kali pada pusingan kedua, kelmarin.
Pada Terbuka Malaysia, minggu lalu, Anna dan Mei Xing membenam beregu No. 3 dunia, Lee So Hee-Shin Seung Chan dari Korea Selatan juga di pusingan kedua.