ISKANDAR PUTERI: Pemenang pingat emas, Mohd. Aniq Kasdan dan pemenang pingat gangsa, Muhammad Shah Firdaus Shahrom, masing-masing bakal menerima insentif RM10,000 dan RM6,000 atas pencapaian mereka dalam Sukan Komanwel Birmingham 2022 daripada kerajaan negeri.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, sumbangan itu diberi atas pencapaian mereka yang telah berjaya mengharumkan nama negara dan negeri ini di peringkat antarabangsa.
Aniq Kasdan berjaya merangkul emas bagi acara angkat berat kategori 55kg, manakala Muhammad Shah Firdaus pula merangkul gangsa bagi acara keirin.

“Saya difahamkan Aniq telah menamatkan saingan ‘snatch’ dengan angkatan seberat 107 kilogram (kg) pada percubaan pertama dan seterusnya dalam saingan ‘clean & jerk’ dengan angkatan 142 kg.
“Bagi Shah Firdaus juga, satu kebanggaan apabila berjaya menamatkan penantian pasukan pelumba berbasikal trek negara selama lapan tahun untuk menang pingat acara keirin,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Terdahulu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Mohd. Aniq Kasdan atas sumbangan pingat emas pertama Malaysia di temasya sukan antarabangsa itu.
Onn Hafiz berharap kemenangan itu akan menyuntik dan membakar semangat atlet-atlet muda Johor yang lain dalam menjulang nama negeri dan negara di persada dunia.