KUALA LUMPUR: Beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik berhati-hati dengan pencabar Korea Selatan, Kim Gi Jung-Kim Sa Rang yang mampu menghadirkan kejutan pada kejohanan badminton Malaysia Masters.
Gandingan Malaysia yang menghuni ranking kelima dunia itu bakal menghitung pertemuan dengan beregu No. 45 dunia tersebut pada pusingan kedua di Axiata Arena Bukit Jalil, dekat sini, hari ini.
“Beregu Korea itu merupakan lawan yang kuat, semasa kami bertemu di Indonesia, baru-baru ini, kami dipaksa bermain sehingga ke rubber set sebelum menang,” kata Aaron.
Pada Terbuka Indonesia, bulan lalu, Aaron dan Wooi Yik diheret sehingga ke rubber set oleh Gi Jung-Sa Rang sebelum menang 21-18, 11-21, 21-11.
Mengakui belum mampu melupakan kekalahan pada separuh akhir Terbuka Malaysia, Sabtu lalu, pemain berusia 25 tahun itu berharap dapat memperbaiki segera mana-mana kelemahan menjelang perlawanan tersebut.
“Permainan kami masih banyak kekurangan, kami sebenarnya belum lagi dapat melupakan kekalahan pada Terbuka Malaysia.
“Kekalahan itu baru sahaja berlaku, lebih-lebih lagi ia terjadi di gelanggang dan suasana persekitaran yang sama,” ujarnya.
Kelmarin, Aaron-Wooi Yik mengubat kekecewaan peminat dengan menewaskan pasangan berpengalaman Jepun, Akira Kago-Taichi Saito 21-16, 21-19, selepas menyaksikan satu lagi beregu Malaysia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd. Rumsani terkandas seawal pusingan pertama.
Sze Fei-Nur Izzuddin yang turun ke gelanggang lebih awal, tidak mampu menandingi beregu handalan Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto apabila tumpas buat kali kedua berturut-turut 14-21, 22-20 dalam tempoh tiga hari. – UTUSAN ONLINE