KUALA LUMPUR: Gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik menggembirakan seluruh peminat di Axiata Arena, Bukit Jalil apabila menempah slot ke separuh akhir beregu lelaki Terbuka Malaysia setelah tumbangkan pasangan veteran Indonesia, Hendra Setiawan-Mohammad Ahsan sebentar tadi.
Ia perlawanan ulangan penentuan pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Aaron-Wooi Yik memerlukan 52 minit untuk lakar kemenangan 21-13, 22-20, 21-19, sekali gus menempah pertemuan dengan juara dunia 2021 dari Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi.
“Bukan senang hendak tewaskan Hendra dan Ahsan, tetapi kami berjaya melakukannya, terima kasih kepada penonton yang bantu kami dengan berikan sokongan kepada kami.
“Mengenai perlawanan mengenai Hoki dan Kobayashi, saya rasa rekod lampau tidak memainkan peranan besar, esok adalah perlawanan yang baru dan kami akan berikan semua yang kami ada,” ujar Aaron sejurus tamat perlawanan.
Terdahulu, satu lagi beregu lelaki negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin gagal meneruskan momentum kemenangan apabila tunduk kepada pasangan Indonesia, Fajar Alfian-Rian Ardianto
Sebelum ini, Ee Yi-Yew Sin melakar kejutan menyingkirkan juara Olimpik Tokyo 2020, Lee Yang-Wang Chi Lin di pusingan kedua semalam.
“Saya agak kecewa dan bengang, namun dalam situasi seperti itu tiada apa kami boleh buat, kalau hendak ‘challenge’ pun tidak boleh kerana tidak membabitkan situasi bulu tangkis jatuh di dalam atau luar gelanggang,” jelas Yew Sin. – UTUSAN ONLINE