KUALA LUMPUR: Kekalahan demi kekalahan dalam beberapa kejohanan sejak kebelakangan ini menyaksikan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) giat mencari seorang pakar psikologi bagi membantu menyelesaikan masalah kurang ketahanan mental yang membelenggu pemain negara.
Isu mental menjadi barah dalam kem kebangsaan apabila Pengarah Kejurulatihan Beregu BAM, Rexy Mainaky tidak berselindung meluahkan kekecewaanya terhadap beregu lelaki negara kerap beraksi di bawah kemampuan ketika memasuki peringkat suku akhir dan separuh akhir seperti di Terbuka Malaysia serta Malaysia Masters.
Lebih memeritkan, gandingan utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik masih kemarau gelaran sejak digandingkan pada 2017.
Pengarah Prestasi Tinggi BAM, Dr. Tim Jones berkata, membawa masuk pakar psikologi menjadi perancangan mereka, namun ia memerlukan kelulusan bajet selepas mengadakan pertemuan dengan Majlis Sukan Negara (MSN) kelmarin.
“Walaupun pada masa ini kita menggunakan pakar psikologi ISN (Institut Sukan Negara) tetapi saya ingin memperkuatkan lagi kerana kita ada ramai pemain,” kata Jones kepada Utusan Malaysia.
Setakat ini, ISN hanya mampu membekalkan seorang pakar psikologi kepada BAM iaitu How Peck Ngor yang mempunyai pengalaman 13 tahun membantu atlet berprestasi tinggi.
Ia nisbah yang amat rendah memandangkan terdapat 80 pemain elit yang berlatih di Akademi Badminton Malaysia (ABM).
Jones bagaimanapun tidak mempunyai ketetapan jumlah pakar psikologi untuk dibawa sambil sifatkan kehadiran mereka tidak akan menyelesaikan masalah dalam waktu singkat.
“Ia bergantung bagaimana kamu mahu membentuk struktur, cabang psikologi bukan sesuatu yang mudah kerana mereka memerlukan masa untuk membina hubungan dengan atlet tersebut.
“Kami mungkin tidak memerlukan jumlah yang ramai, namun cukup jika pakar itu mampu menyesuaikan diri dengan baik,” katanya.